NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga saham Bursa Malaysia jatuh berikutan polisi kerajaan perkenal cukai baharu


KUALA LUMPUR, 30 Muharram 1440H, Rabu – Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah di semua papan hari ini berikutan faktor dalaman dan luaran memandangkan pelabur, antaranya, berhati-hati berhubung rancangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu bagi mengurangkan beban hutangnya.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 38.97 mata atau 2.197 peratus untuk ditutup pada 1,735.18 berbanding 1,774.15 pada penutup Selasa.

Indeks bergerak dalam jajaran besar antara 1,732.5 dan 1,781.79 hari ini selepas dibuka meningkat 7.57 mata pada 1,781.72.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan mungkin memperkenalkan cukai baharu bagi mendapatkan dana bagi membayar semula hutang.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran juga agak rapuh di tengah-tengah amaran oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa risiko akan meningkat di dalam sistem kewangan global, ditambah dengan peningkatan berterusan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang akan mendorong situasi ini menjadi lebih lama.

IMF mengekalkan prospek pertumbuhan ekonominya terhadap AS dan China masing-masing pada 2.9 per cent dan 6.6 peratus pada 2018, dan akan perlahan masing-masing kepada 2.5 peratus dan 6.2 peratus tahun depan. Ia juga mengurangkan jangkaannya untuk pasaran baru muncul pada tahun 2019.

Di papan skor Bursa Malaysia, suasana pasaran adalah negatif dengan rugi mengatasi untung 993 kepada 116 sementara 286 kaunter tidak berubah, 479 tidak diniagakan dan 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah tinggi iaitu 3.02 bilion unit, bernilai RM2.96 bilion, berbanding 1.80 bilion unit, bernilai RM1.53 bilion pada Selasa.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank menokok dua sen kepada RM24.98, Maybank susut 14 sen kepada RM9.51, Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM9.36 dan Hong Leong Bank susut empat sen kepada RM20.56.

Axiata susut 51 sen kepada RM3.85, TNB susut 70 sen kepada RM14.68, CIMB susut 20 sen kepada RM5.84, dan Telekom Malaysia susut 48 sen kepada RM2.55.

Bagi kaunter aktif, Borneo Oil tidak berubah pada 5.5 sen, Sapura Energy susut 1.5 sen pada 36 sen, Hibiscus Petroleum susut lima sen kepada RM1.25 dan MYEG susut tiga sen kepada RM1.52.

Gamuda susut 31 sen kepada RM2.07 selepas menerima reaksi negatif terhadap laporan bahawa kontrak MRT2 akan ditamatkan.

Indeks FBM Emas susut 287.90 mata kepada 12,016.02, Indeks FBM Emas Shariah susut 336.74 mata kepada 12,023.90 dan Indeks FBMT 100 susut 283.77 mata kepada 11,834.91.

Indeks FBM Ace susut 161.15 mata kepada 5,027.46 manakala FBM 70 susut 402.51 mata kepada 13,870.27.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 46.03 mata kepada 7,449.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 191.03 mata kepada 17,487.66 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.79 mata kepada 173.27.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.95 bilion saham bernilai RM2.77 bilion, berbanding 1.23 bilion saham bernilai RM1.41 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan Waran meningkat kepada 569.73 juta unit bernilai RM93.28 juta daripada 316.13 juta unit bernilai RM68.10 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 507.26 juta unit bernilai RM96.44 juta daripada 258.92 juta unit bernilai RM51.89 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna berjumlah 291.45 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (379.76 juta), pembinaan (272.999 juta), teknologi (194.03 juta), SPAC (227,000), perkhidmatan kewangan (55.92 juta), hartanah (141.48 juta), perladangan (22.67 juta), REIT (4.72 juta), tutup/dana (31,000), tenaga (414.23 juta), penjagaan kesihatan (32.07 juta), telekomunikasi dan media (66.95 juta), pengangkutan dan logistik (34.17 juta), dan utiliti (36.70 juta). – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo