NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga pakej permulaan jalur lebar turun lebih 30% - SKMM




Harga pakej permulaan jalur lebar yang ditawarkan semua syarikat telekomunikasi dalam negara turun lebih 30 peratus.

Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan medianya hari ini berkata, Telekom Malaysia (TM), Maxis, TIME dotcom (TIME) dan Celcom kini menyediakan perkhidmatan jalur lebar dengan pakej permulaan pada harga di bawah RM100.

Menurut kenyataan media itu, beberapa syarikat telekomunikasi berkenaan juga meningkatkan kelajuan perkhidmatan jalur lebar mereka.

"Selain daripada pakej-pakej permulaan, syarikat-syarikat telekomunikasi turut mengumumkan peningkatan kelajuan pada harga yang sama. Dalam kes tertentu, seperti TM, kelajuan telah meningkat 10 kali ganda.

"Begitu juga dengan syarikat-syarikat telekomunikasi lain yang turut memperkenalkan pakej-pakej berkelajuan tinggi dengan TIME memperkenalkan pakej permulaan Gigabit pada harga RM199.

"lni adalah kali pertama pakej jalur lebar Gigabit diperkenalkan kepada sebahagian besar segmen penduduk di Malaysia," kata kenyataan media itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo Jun lalu mengumumkan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) bagi menurunkan harga jalur lebar talian tetap.

Kerajaan sebelum ini menjangkakan harga jalur lebar akan dikurangkan sekurang-kurangnya sebanyak 25 peratus menjelang 31 Disember 2018.

"Secara keseluruhannya, pelaksanaan MSAP itu telah menyebabkan pengurangan harga lebih daripada 30 peratus untuk pakej-pakej permulaan tersebut.

"Pelaksanaan MSAP dan penurunan harga ekoran pelaksanaan tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan jalur lebar yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia pada harga yang berpatutan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo