NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Enam anggota bomba syahid: Mufti Wilayah



BANGI, 24 Muharram 1440H, Khamis – Kematian enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi, diiktibarkan sebagai syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, menurut hadis riwayat al-Bukhari, mati lemas adalah antara lima golongan mati syahid, selain ditimpa runtuhan serta penyakit perut dan taun.

Beliau berkata, enam anggota berkenaan adalah insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan hingga ke nafas terakhir.

"Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.

"Inilah syuhada kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada'. Amin," katanya dalam satu kenyataan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Zulkifli mencadangkan supaya kerajaan memberikan anugerah kecemerlangan dan kenaikan pangkat kepada semua anggota terbabit, untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga mereka.

Beliau turut mencadangkan supaya rakyat Malaysia turut sama menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa, bagi meringankan beban untuk meneruskan kehidupan.

"Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada' kami ini.

"Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha-Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya. Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha-Allah akan datang bantuan daripada-Nya," katanya.

Dalam kejadian jam 9.15 malam tadi, enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja yang hilang ketika memancing di lombong Putra Perdana, Puchong.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo