Cabaran dan Jangkaan Bajet 2019 – Syahir Sulaiman (Bahagian 1)


Oleh:  Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
29 Oktober 2018

“Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Al-Isra’: 30)

Bajet Terpenting.

Bajet 2019, yang akan dibentangkan pada 2 November ini, merupakan bajet terpenting untuk negara dalam tempoh lima tahun ini.

Ini kerana, Bajet 2019 adalah bajet yang pertama kali disediakan sepenuhnya oleh Kerajaan Pakatan Harapan, berbeza dengan Kajian Separuh Penggal RMK11 yang merupakan penerusan kepada dasar dan program yang dimulakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Selain itu, Bajet 2019 perlu dirangka dalam keadaan ekonomi dan kewangan negara yang agak lemah, peninggalan daripada Kerajaan Barisan Nasional terdahulu, di samping tanggungjawab utama kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dan yang terpenting kewajipan untuk menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan.

Justeru secara umumnya, Bajet 2019 dijangka tidak akan mengandungi banyak pemberian dan janji manis untuk menarik sokongan rakyat (goodies budget), manakala kerajaan dijangka akan menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan dan mengoptimakan perbelanjaan (good budget), serta berkemungkinan mengemukakan bajet yang lebih kecil bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.

Jangkaan Ahli Ekonomi.

Penganalisis ekonomi di Maybank Investment Bank (MIB) menjangkakan Bajet 2019 akan mencatatkan angka defisit sekitar 3.5% kepada KDNK, berbeza dengan angka 2.8% defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2018 terdahulu. Ianya disumbangkan oleh pengurangan kutipan cukai kepenggunaan daripada GST kepada SST, di samping konsolidasi perbelanjaan di pihak kerajaan dalam aspek pembatalan projek mega, subsidi minyak, penyusunan hutang dan pemberian tender kerajaan.

Pihak MIB juga menjangkakan insentif Bajet 2019 akan diutamakan kepada sektor rumah mampu milik, industri kecil dan sederhana, serta peningkatan inovasi dan produktiviti, manakala perbelanjaan kerajaan dalam bentuk gaji, bonus dan pemberian akan dikecilkan dalam masa terdekat ini, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan pada kadar 4.8% bagi tahun 2019.

Penganalisis ekonomi di Ambank Investment Bank (AIB) pula menjangkakan defisit yang lebih tinggi, iaitu sekitar 3.7% - 4.6% pada tahun 2019, berdasarkan unjuran hasil yang lebih rendah dan pemotongan perbelanjaan kerajaan sekitar 5%-10%, serta pertumbuhan KDNK 2019 yang dijangka agak perlahan pada kadar 4.5%.

Pihak AIB juga melihat sentimen berhati-hati di kalangan pelabur di Bursa Malaysia, kenaikan kadar inflasi yang ditanggung pengguna, kelemahan nilai Ringgit dan kemungkinan perubahan penarafan kredit Malaysia sebagai perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh pihak Kerajaan.

Ternyata, penyediaan Bajet 2019 adalah sangat rumit dan perlu mengambilkira pelbagai dimensi politik dan sosio-ekonomi, bagi mencapai keutamaan dan penumpuan baharu yang digariskan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK11 baru-baru ini.



*Penulisan ini mengupas dua aspek berkaitan dengan Bajet 2019. Bahagian pertama membincangkan unjuran intipati utama dan jangkaan ahli ekonomi terhadap Bajet 2019. Bahagian kedua mengupas jangkaan rakyat dan saranan yang perlu diberi perhatian dalam kerangka Bajet 2019.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget