NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bakteria Salmonella punca keracunan laksa di Baling



BANGI, 12 Safar 1440H, Ahad – Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Baling, Kedah disahkan mengandungi bakteria Salmonella enterica serovar Weltevreden, yang menjadi punca keracunan dan menyebakan dua kematian pada awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan keputusan makmal yang lengkap diperolehi hari ini, agen penyebab keracunan makanan itu telah dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan mi laksa.

Beliau berkata, menerusi kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria tersebut berpunca daripada satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 dari gerai terbabit.

"Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober tersebut dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut.

"Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih, serta suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman," katanya.

Beliau berkata, bakteria Salmonella sering berlaku akibat pencemaran makanan dan air yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Dr Noor Hisham berkata, pemilik gerai terbabit juga telah dimaklumkan mengenai hasil siasatan yang dijalankan pada petang tadi.


"Gerai menjual laksa yang terlibat telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober 2018.

"Tuan punya gerai harus mengambil langkah-langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya.

"Tuan punya gerai terbabit juga telah dimaklumkan sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula," katanya.

Katanya, tiada kes baharu dikesan sejak 9 Oktober lalu, dengan jumlah keseluruhan kekal 83 kes, termasuk dua kematian direkodkan.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit serta pendidikan kesihatan tentang pengendalian makanan yang selamat di premis makanan terbabit telah dijalankan oleh KKM.

"Selain itu, KKM juga akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di semua premis makanan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo