NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2019: Jangan hanya serah projek besar kepada syarikat konsesi



KOTA BHARU – Kerajaan digesa mengambil kira kedudukan kira-kira 40,000 kontraktor kecil dan sederhana termasuk 3,000 di Kelantan yang berdepan kesukaran apabila kebanyakan projek besar diserahkan kepada syarikat konsesi, dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen 2 November ini.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu (PKM) Kelantan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata PKM Kelantan berharap kerajaan dapat melakukan semakan semula projek-projek yang telah dianugerahkan kepada syarikat konsesi bagi memastikan pengagihannya adalah menyeluruh kepada kontraktor kecil dan sederhana dan bukan hanya kepada anak syarikat syarikat konsesi.

Beliau yang dihubungi Bernama di sini hari ini, berkara PKM Kelantan bukan menafikan peluang ada diberikan oleh syarikat konsesi kepada kontraktor kelas kecil dan sederhana tetapi jumlahnya adalah terlalu kecil.

Katanya kontraktor kecil dan sederhana boleh diberi peluang jika semakan mendapati syarikat konsesi berdepan masalah atau tidak mampu menyiapkan projek yang diberikan dengan baik.

"Langkah sebegini sedikit sebanyak dilihat akan memberi peluang kepada kontraktor kelas berkenaan meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing dalam mendepani keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini," katanya.

Mohd Rosdi berkata selain projek mega, kerajaan diharap akan meneruskan projek berskala sederhana dan kecil kerana industri pembinaan adalah antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Justeru katanya, adalah amat wajar masalah yang dialami kontraktor bumiputera dijadikan agenda penting dalam Bajet 2019.

Katanya projek pembangunan secara menyeluruh ke semua negeri juga dilihat mampu memastikan kontraktor bumiputera dapat bersaing secara sihat dalam sektor pembinaan.

Dalam pada itu, katanya PKM Kelantan berharap kerajaan akan mengumumkan skim tertentu untuk pembelaan usahawan bumiputera menerusi Bajet 2019 nanti. – Bernama




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo