Anwar mohon batal saman pengisytiharan tak layak tanding di PD.


Anwar mohon batal saman pengisytiharan tak layak tanding di PD.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan bahawa beliau tidak berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.

Peguam J.Leela yang bertindak bagi pihak Anwar, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu, memaklumkan bahawa permohonan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Noraziah Mohd Shariff, 38, itu dibuat atas dua sebab iaitu tiada locus standi dan tidak adil.

Leela berkata demikian ketika dihubungi pemberita di sini hari ini dan turut memaklumkan permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi, esok.

Noraziah memfailkan permohonan itu pada 28 Sept lepas melalui firma guaman, Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di sini selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.

Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.

Beliau turut memfailkan sijil perakuan segera supaya permohonan itu dapat didengar secepat mungkin oleh mahkamah sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Oktober ini diadakan memandangkan Anwar akan menjadi calon.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.

Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Noraziah mengemukakan permohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lepas, Anwar dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).

Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan. – BERNAMA
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget