NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen DAP perlu beri penjelasan, cetus kebimbangan



BANGI, 10 Safar 1440H, Jumaat – Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani didesak memberi penjelasan berhubung kenyataannya di dalam Dewan Rakyat sebelum ini, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan Kasthuriraani yang menyentuh soal agama Islam menimbulkan kekeliruan, maka beliau perlu menarik balik kenyataan itu supaya tidak menimbulkan ketegangan berpanjangan.

"Kebimbangan ini tercetus kerana sekarang ini bertubi-tubi hal agama dibangkitkan. Jadi apabila ditambah pula dengan kenyataan seperti ini, ia menambahkan lagi rasa tidak senang umat Islam.

"Tidak perlu Ahli Parlimen DAP itu mewujudkan kontroversi terhadap kedudukan Islam ini, sedangkan beliau sendiri dan semua telah maklum, bahawa kontroversi terhadap agama Islam ini akan membangkitkan isu yang tidak sihat apabila kedudukan Islam itu jadi satu topik yang dipersoalkan," katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Kasthuriraani yang mendesak Kementerian Luar untuk meratifikasi 'International Convention Against All Forms of Racial Discrimination, Convenant on Civil and Political Rights' (ICCPR) di Dewan Rakyat, kelmarin.

Kesal dengan perkara itu, Azmi berkata, jika tujuan Kasthuriraani membangkitkan hal itu bertujuan melontarkan idea supaya kedudukan Islam itu sama rata atau kebebasan beragama itu seperti di negara-negara lain atas nama hak asasi manusia, ia tidak boleh dipakai dalam konteks Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana hal berkaitan agama di bawah bidang kuasa agensi agama dan Raja-Raja Melayu di negara ini yang telah dipersetujui sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Persetujuan sejak kemerdekaan lagi bahawa kita mempunyai senario yang berbeza dengan negara-negara lain dari sudut kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Hal-hal agama Islam ini adalah di bawah bidang kuasa agensi agama dan Raja-Raja Melayu.

"Jadi, saya kira apa-apa ulasan sama ada dalam Parlimen atau di luar yang menyentuh kedudukan Islam itu tidak boleh dibuat secara serampang begitu walaupun dengan alasan tidak melanggar Perlembagaan," katanya.

Sebelum ini, Kasthuriraani mendesak kerajaan menandatangani dan meratifikasi ICCPR. Prinsip untuk menghalalkan murtad terkandung dalam deklarasi tersebut.

Ismaweb.net kemudian, menyiarkan artikel yang bertajuk 'Ahli Parlimen DAP desak kebebasan murtad, ajaran sesaat,' ditulis oleh penulis luar, Ustaz Nu'man Mazlan berhubung kenyataan beliau dalam Dewan Rakyat.

Berikutan itu, Kasthuriraani memberi ultimatum kepada Ismaweb.net untuk menarik balik artikel berkenaan yang diterbitkan pada 15 Oktober lalu.

Ismaweb.net bagaimanapun, berdiri teguh dengan kandungan dalam artikel berkenaan kerana ia telah disemak dan didapati bahawa tulisan itu bersandarkan kepada ucapan Kasthuriraani serta bersumberkan rujukan dan fakta yang tepat.











No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo