NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

41 maut Amerika bom masjid




DEIR EZ-ZOR (SYRIA), 14 Safar 1440H, Selasa – Sekurang-kurangnya 41 orang awam, termasuk 10 kanak-kanak, terbunuh pakatan tentera diketuai negara pembuli Amerika Syarikat (AS) mengebom sebuah masjid di bandar Al-Susah di timur Syria, pda Khamis dan Jumaat lalu.

Walaupun sesetengah pihak mengatakan 70 terbunuh, Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) semalam mengesahkan jumlah kematian adalah 41 orang, sambil menyatakan kebanyakan yang terbunuh adalah saudara mara anggota militan IS.

"Kebanyakan yang maut masih terperangkap di bawah runtuhan Masjid Al-Uthman, dan rumah sekitarnya, yang dibom pesawat AS dan sekutunya ketika umat Islam sedang solat Jumaat," kata jurucakap SOHR.Kira-kira 22 militan juga terbunuh dalam serangan itu yang mana AS mendakwa masjid berkenaan digunakan sebagai pangkalan operasi IS, ketika gerakan besar-besaran dilakukan di wilayah Deir Ez-Zor.

Jurucakap tentera pakatan AS, Kolonel Sean Ryan bagaimanapun, mempertahankan serangan ke atas masjid itu, walaupun ia dibom pada waktu solat Jumaat.

"Militan IS menyalahgunakan masjid. Ianya melanggar peraturan perang, menjadikan rumah ibadat itu sebagai sasaran tentera," katanya.

Katanya, pakatan tentera AS memantau masjid itu dan bertindak hanya apabila ada kumpulan militan di kawasan berkenaan, namun penyiasat akan menilai tuduhan mengatakan ada orang awam yang turut terbunuh.

Serangan udara dan darat disertai kumpulan bersenjata Barisan Demokratik Syria (SDF), sekutu AS, juga dilakukan di timur Sungai Euphrates, bermula bulan lalu untuk melemahkan IS di kawasan Al-Shafna dan Hajin.

SOHR berkata, pertempuran itu menyebabkan 414 militan IS dan 227 anggota SDF terbunuh sejak 10 September lalu.

Serangan pakatan AS itu dilakukan serentak dengan kempen rejim Bashar Al-Assad, yang disokong tentera udara Russia dan kumpulan Syiah Iran di darat, di kawasan padang pasir Suwaida, turut menyebabkan kematian sejak beberapa bulan lalu.

Kumpulan hak asasi manusia turut mengkritik serangan udara ke atas masjid berkenaan. – Agensi


Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/10/23/41-maut-amerika-bom-masjid/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo