NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Port Dickson Menyerlahkan Jatidiri PAS – Syahir Sulaiman



“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar; dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” (Ali-Imran: 104)

Keputusan PAS untuk bertanding dalam PRK Port Dickson mengundang pelbagai reaksi, dan dibuat setelah mengambil kira pertimbangan demografi dan demokrasi.

Secara demografi, Port Dickson bukanlah kerusi selamat untuk PAS. Kawasan parlimen ini terdiri daripada 43% pengundi Melayu, 33% pengundi Cina, 22% pengundi India dan 2% lain-lain bangsa, menjadikannya kerusi campuran yang didominasi pengundi bukan-Melayu. 

Di samping itu, pihak SPR mengumumkan seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK Port Dickson, terdiri daripada 68,486 orang pengundi biasa (90.3%), 7,268 pengundi awal (9.6%) dan 16 orang pengundi luar negara, menjadikannya kerusi parlimen yang mempunyai jumlah undi tentera yang agak signifikan.

Terdapat lima DUN dalam parlimen Port Dickson iaitu Chuah dan Lukut yang merupakan kawasan majoriti pengundi Cina, Sri Tanjung sebagai kerusi campuran dan kawasan perindustrian, serta Bagan Pinang dan Linggi yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu yang turut menempatkan kem tentera dan merupakan kawasan pelancongan.

Rekod pilihanraya menyaksikan kerusi parlimen ini dianggap sebagai kubu kuat BN dan MIC sejak tahun 1970-an, sehinggalah kerusi tersebut ditawan oleh PKR dalam PRU 2008 (majoriti 2,804), dan kekal dimenangi PKR dalam PRU 2013 (majoriti 1,579) dan PRU 2018 (majoriti 17,710) dengan penguasaan 58% undi popular.

Melihat kepada angka-angka ini, cabaran yang menanti PAS bukanlah mudah, namun PAS memilih untuk tidak memberi laluan mudah. Apabila ditanya oleh wartawan tentang potensi PAS dalam PRK ini, Presiden PAS menjawab “Tidak mustahil boleh menang, namun tidak mudah untuk menang”.

Secara demokrasi, keputusan yang diambil oleh PAS adalah untuk menghidupkan proses demokrasi dan berpolitik secara matang di Malaysia. Ianya bagi memberi pilihan kepada rakyat yang mahu menghantar isyarat penolakan terhadap kegagalan kerajaan PH, serta menjadi signal penolakan ‘politik keperibadian’ dengan pelbagai langkah yang tidak berkesudahan.

Menariknya, keputusan PAS untuk bertanding dalam PRK Port Dickson ini menyerlahkan jatidiri PAS yang bebas menentukan sikap dan pendirian politik secara tersendiri, dalam konteks hubungan kerjasama politik sesama parti pembangkang seperti UMNO dan MIC di atas prinsip Ta’awun Siyasi yang fleksibel dalam perkara kebaikan.

Maka penyertaan PAS dalam PRK Port Dickson ini jelas menunjukkan jatidiri dan konsistensi PAS di atas prinsip kebenaran, serta menyerlahkan kesungguhan PAS menghidupkan proses demokrasi ke arah budaya politik berprinsip, matang dan sejahtera (BPMS) dalam negara. 

Inilah mesej besar yang dibawa oleh PAS, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam Al-Quran supaya perlu ada suatu golongan (ummah) yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh segala yang baik serta melarang segala yang mungkar, dan inilah sifat golongan yang berjaya di sisi Tuhan.

Di atas jatidiri ini, Port Dickson kami datang!

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 27 September 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo