NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lima pilihan untuk atasi PRK tidak perlu



LIMA PILIHAN UNTUK ATASI PRK TIDAK PERLU

Oleh: Dr Kamarul

Berdasarkan pemerhatian saya, memang banyak pihak yang tidak selesa dan marah-marah bila berlakunya PRK yang disengajakan seperti apa yang berlaku dalam PRK PD ini.

Kata mereka, perletakan jawatan Ahli Parlimen PD, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 12 September lalu tidak patut berlaku kerana beliau baru dipilih kira-kira 4 bulan lalu.

Perletakan jawatan beliau ini seolah-olah mempermainkan amalan demokrasi dengan mensia-siakan mandat yang telah diberikan oleh pengundi PD kepada beliau dalam PRU 14.

Kos perbelanjaan bagi PRK PD yang dianggarkan berjumlah RM3.6 juta juga disifatkan sebagai satu pembaziran, apatah lagi di waktu negara sedang mengalami masalah kewangan.

Walaupun begitu, kemarahan kita ke atas perletakan jawatan Ahli Parlimen PD ini sepatutnya perlulah dihalakan kepada sistem pilihan raya yang membenarkan perkara ini dilakukan.

Ini kerana halangan yang dikenakan oleh sistem yang ada di negara kita ke atas Ahli Parlimen yang sengaja meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah sangat ringan.

Halangan yang ada hanyalah bahawa Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan ini hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen bagi tempoh lima tahun (Perkara 48(6) PP).

Halangan yang lain adalah bahawa kekosongan luar jangka yang berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar tidak boleh diisi (Perkara 54 PP).

Bagi menghalang PRK yang disengajakan seperti di PD ini dari terus berlaku pada masa hadapan, terdapat lima pilihan yang boleh dilakukan untuk mengubah sistem ini.

Pilihan pertama adalah untuk mewujudkan penalti yang jauh lebih keras kepada mana-mana Ahli Parlimen yang sengaja meletakkan jawatan tanpa apa-apa sebab yang munasabah.

Untuk itu, Perkara 48(6) PP perlu dipinda bagi menjadikan Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan ini hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen untuk tempoh seumur hidup.

Pilihan kedua adalah untuk memasukkan peruntukan baru ke dalam PP bagi mengenakan denda wang yang sangat tinggi ke atas Ahli Parlimen yang sengaja meletakkan jawatan.

Invoke Malaysia mengenakan denda RM20 juta kepada calon PRU yang melanggar akujanji dan jumlah ini juga boleh dikenakan kepada Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan.

Pilihan ketiga adalah untuk mewujudkan penalti yang keras kepada parti yang mana-mana Ahli Parlimennya sengaja meletakkan jawatan tanpa apa-apa sebab yang munasabah.

Untuk itu, perlu dimasukkan peruntukan baru ke dalam PP bagi menghilangkan kelayakan parti yang Ahli Parlimennya meletakkan jawatan dari terus bertanding di kerusi sama.

Tempoh hilang kelayakan untuk bertanding di kerusi sama kepada parti ini bolehlah difikirkan bersama dan ia boleh juga ditambah dengan denda wang yang sangat tinggi.

Pilihan keempat adalah untuk menjadikan kekosongan kerusi Parlimen yang berpunca daripada tindakan Ahli Parlimen meletakkan jawatan sebagai langsung tidak boleh diisi.

Untuk itu, Perkara 54 PP yang menyatakan kekosongan luar jangka dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar tidak boleh diisi perlu dijadikan langsung tidak boleh diisi.

Pilihan kelima adalah untuk menjadikan sebarang kekosongan kerusi Parlimen hendaklah diisi oleh calon yang dikemukakan namanya oleh parti yang diwakili oleh Ahli Parlimen itu.

Untuk itu, Perkara 54 PP perlu dipinda bagi memansuhkan terus keperluan untuk mengadakan PRK ini dan memadai dengan pilihan pengganti oleh parti yang menang sahaja.

Jika rakyat Malaysia serius mahu membendung amalan Ahli Parlimen yang sengaja meletakkan jawatan maka perlulah diusahakan mana-mana pilihan atau gabungan pilihan ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo