NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Port Dickson: Keputusan PAS Tanding Mengejutkan Dan Berani



oleh: Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi

Keputusan PAS meletakkan calon di Pilihanraya Kecil (PRK) Port Dickson mengejutkan ramai pihak sama ada ahli PAS mahupun masyarakat yang menyokong PAS. Sekiranya merujuk kepada keputusan PRU14 dan beberapa PRU sebelum PRU14, Port Dickson bukanlah tempat mudah menang bagi PAS. Malah komposisi kaum pengundinya pun lebih memihak kepada pengundi bukan Melayu dan Islam iaitu 57% berbanding dengan pengundi Melayu iaitu sebanyak 43%.

Hal ini disebabkan trend pengundi bukan Melayu setakat ini secara jelas tidak memihak kepada PAS, malah daripada PRU14 yang lepas ada peti undi solid pengundi bukan Islam menyokong PKR atau PH kerana PAS dianggap parti radikalisme Islam dan parti menongkat BN yang hampir lemas.

Tambahan pula, Anwar adalah calon boleh menang apabila melihat kepada peratusan yang menyokong Anwar tidak kira di PRK Permatang Pauh atau di tempat yang lain. Anwar mempunyai karismatiknya tersendiri. Pidatonya mampu mempengaruhi ramai orang. Untuk mencari calon yang layak bertanding sesuai dengan karismatik Anwar sangat sukar. Maka, PAS dianggap parti underdog dalam PRK-PD kali ini.

Ia memang keputusan agak mengejut kerana pada awalnya PAS membuat keputusan tidak masuk bertanding melalui keputusan mesyuarat yang dikeluarkan secara rasmi melalui surat dari Pejabat Agung PAS oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan pada 13 September 2018.

Dalam pada itu, masih ada kira-kira lagi keputusan mesyuarat tersebut kerana ada jawapan in-advance oleh Tuan Guru Presiden PAS sebelum berlakunya mesyuarat PAS semalam iaitu pada 26 September 2018 telah memberi gambaran bahawa PAS akan masuk bertanding jika UMNO tidak letak calon. Hal ini dilihat berasaskan semangat demokrasi iaitu tidak membiarkan kerusi tanpa pertandingan. PAS berpegang kepada tiga asas pergerakan parti iaitu damai, demokratik dan berperundangan seperti yang disebut ketika ucapan Dato’ Takiyudin Hassan dalam muktamar PAS ke-64.

Kemungkinan lain kenapa PAS meletakkan calon ialah kerana ingin menegaskan bahawa PAS sebuah parti yang boleh membuat keputusan tanpa berbataskan pengaruh mana-mana pihak. Bila UMNO boikot PRK-PD, ini tidak bermakna PAS juga akan boikot. Maka jelas tiada sebarang kerjasama dengan UMNO dalam PRK ini.

Dari sudut yang lain, PAS memandang dengan adanya pertandingan dalam PRK ini membolehkan penduduk PD mendapat peluang untuk dianugerahkan pelbagai peruntukan dari kerajaan pusat seperti memperbaiki infrastruktur di tempat-tempat yang agak dho’if dan sebagainya. Manfaatnya akan dapat kepada pengundi PD.

Bagi saya, apa pun keputusan PAS, sebenarnya yang paling utama ialah PAS sebagai sebuah parti politik dakwah sepatutnya tidak berlepas tangan dari kebergantungan kepada Allah SWT. Ahlinya juga bila faham prinsip ini, mereka tidak akan terlalu terkejut kerana keputusan yang dibuat ini bukan dibuat secara individu tetapi ia dibuat secara kolektif dalam mesyuarat (syura). Setiap keputusan mesyuarat adalah ketetapan Allah SWT melalui saluran mulut pimpinan PAS.

Jika benar prinsip yang dipegang ini, maka secara betulnya PAS masuk bertanding ini bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi (tidak mahu rakyat tiada peluang memilih) atau pun kerana untuk melihat kelicikan dan kesetiaan UMNO kepada PAS atau ingin melihat ahli melakukan kerja, tetapi yang sebenarnya dan yang sepatutnya ialah semua gerak kerja PRK ini adalah kerana untuk memenuhi tuntutan dakwah Islam.

Apabila PAS masuk PRK kalah menang bukan ketentuan manusia, tetapi ketentuan Allah SWT. Yang penting ialah masuk PRK membuatkan dakwah Islam makin tersebar luas. Dalam setiap ruang penjuru dan pelusuk PD boleh diterokai oleh PAS untuk sebarkan Islam. Dengan ini, masyarakat makin faham dan lebih jelas kehendak PAS untuk memperjuangkan Islam. Apabila jelas prinsip ini, maka makin jelas kemenangan buat PAS.

Wassalam,


Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi ialah Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, ISDEV, USM.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo