NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hukuman Sebat Sivil Lagi Kejam – Mufti

Hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu baru-baru ini disifatkan lebih berperikemanusiaan berbanding sebat dalam undang-undang sivil yang menyebabkan lebih kemudaratan.
Sehubungan itu, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, tidak timbul isu hukuman diputuskan Mahkamah Syariah Tinggi Terengganu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

“Saya berpendapat hukuman sebat itu lebih berperikemanusiaan berbanding sebat dalam undang-undang sivil, ia tidak mencederakan sebaliknya hanya bersifat mendidik, memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan dilarang Allah contohnya hubungan sejenis seperti lesbian.

“Saya rasa mereka yang membantah itu lebih baik mengkritik terlebih dulu hukuman sebat dalam undang-undang sivil yang lebih memudaratkan seperti merosakkan anggota badan,” katanya di Kuantan, pada Khamis.

Abdul Rahman berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kabinet berpendapat hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu, baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

Isnin lalu, dua wanita masing-masing berusia berumur 32 dan 22 tahun menjalani hukuman enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta pada April lalu.

Hukuman itu menimbulkan pelbagai polemik, namun pelbagai pihak menyokong keputusan itu bagi mendidik umat Islam tidak mengingkari arahan Allah, supaya menjauhi perbuatan dilarangNya.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah yang pertama dilakukan di negeri berkenaan.



Wartawan Watan-Online
Sumber: http://watan-online.com/2018/09/06/hukuman-sebat-sivil-lagi-kejam-mufti/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo