Umno beri PAS Seri Setia?



Oleh: SUBKY LATIF 
07 AUGUST 2018

SAYUGIA bersyukur kepada Allah kerana membuka hati Umno memberi PAS bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, Selangor yang dikosongkan oleh kematian Adun PKR, Prof. Shaharudin Badarudin.

Ini adalah kali ketiga dalam sejarah 60 tahun Umno memberi laluan kepada PAS dalam pilihan raya. Pertama pada PRU 1974, justeru PAS adalah kerabat Barisan Nasional. Kedua PRK mengisi Dun yang dikosongkan oleh kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Pada PRU 1974 itu PAS bersatu dengan Umno. Dua PRK itu pula justeru Umno tidak makan cekak gara-gara kesan pimpinan lemah Datuk Najib.

PAS terima tawaran Umno itu kerana ijtihad Majlis Syura Ulamak selepas PRU14 mengelak pertandingan tiga penjuru yang melibatkan PAS, BN dan PH. Majlis Syura dipercayai akan mengadakan mesyuarat jika PRK berlaku di kawasan yang diwakili PAS dan di negeri yang PAS berkuasa sekalipun ia dikosongkan baik BN mahupun PH.

Kerana Umno memilih bertanding di Sungai Kandis, PAS menarik diri. Sikap itu sesuai dengan amalan PAS selama ini sentiasa bersama pembangkang. 60 tahun dulu Umno bukan pembangkang, maka PAS tidak bersamanya. Kali ini Umno pembangkang, maka harus PAS bersamanya.

PAS bersama pembangkang bukan suka sangat parti-parti berkenaan, tetapi ia boleh mengurangkan kekuatan dan pengaruh parti pemerintah. Jika ia boleh dilemahkan, maka ia mudah dikalahkan.

60 tahun Umno tidak dapat dikalahkan, berbagai kepincangan dan kerosakan dilakukannya. Jika PAS tidak bersama pembangkang di Sungai Kandis, ditakuti PH akan berkuasa sampai 60 tahun pula, maka akan menambah lebih banyak kerosakan.

Pembangkang yang kuat di Selangor atau di mana-mana saja boleh mengurangkan kerakusan kerajaan.

Sikap PAS di Sungai Kandis itu untuk PRK saja. Bagi PRU15 akan ditentukan masa itu. Ia tidak mesti sama.

Tetapi jika Umno menolak Sungai Kandis tentulah yang bertanding itu PAS. Seperti di PRK Seri Setia ini PAS terima tawaran itu dengan harapan pembangkang dapat dikuatkan di Selangor. Mungkin PAS tidak berjaya di Seri Setia seperti Sungai Kandis, tetapi ia mungkin menang dengan izin Allah. Tiada siapa tahu secara tepat masa akan datang selain Allah.

PAS setia dengan sikap sejak lebih 60 tahun, ia buat kerja. Yang memenangkannya Allah.

Dengan perkembangan terbaru Allah buka hati Umno untuk memberi laluan kepada PAS. Syukur kepada-Nya dan terima kasih pada Umno, kerana sikapnya itu PAS tidak perlu berlawan dengan banyak pihak. Ia dapat tumpukan urusan PH saja, moga-moga ia permulaan bagi menjadikan PAS pembangkang yang terkuat. Jika boleh biarlah ada satu parti pembangkang saja.

Laluan yang Umno beri itu berpeluang bagi PAS berdakwah politik di Seri Setia khususnya dan semua. PAS tidak seperti YADIM yang berdakwah saja. Tetapi ia berdakwah dan berpolitik. Tentunya ia dapat menggandakan dakwah kepada semua. Ia peluang terbaik berdakwah kepada Umno dan PH.

PAS bersama Pakatan dulu berserampang dua mata. Berpolitik dan berdakwah. Ia peluang terbaik berdakwah kepada DAP dan PKR. Percubaan itu gagal. Bukan DAP dapat didakwah, tetapi ia pula dapat dakyah di kalangan PAS.

Kegagalan itu tidak bererti gagal seterusnya. Peluang terbaik dapat bersama Umno, moga-moga dapat menambah dekatkan Umno kepada PAS. Kempen PAS nanti boleh jadi iklan bagi menjadikan Umno lebih banyak tahu tentang PAS. Dakwah politik kepada PH diteruskan juga.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget