NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH Kedah ajak rakyat hayati dan fahami kembali kandungan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu



31 JULAI 2018 / 18 ZULKAEDAH 1438
Oleh : UMMAH Kedah

UMMAH Kedah mengajak seluruh lapisan rakyat tidak kira apajua ideologi politik, bangsa maupun agama kembali merujuk Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ketika menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 .

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak sembilan Raja-Raja Melayu (empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu) untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi,

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu merupakan suatu penegasan yang jelas iaitu Raja-Raja Melayu ingin memastikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan buat rakyat akan wujud di negara ini selama-lamanya.

Timbulnya pelbagai isu kontroversi mutakhir ini yang membabitkan isu agama, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu/Bumiputera, ketuanan Melayu, perlecehan bahasa Melayu dan sebagainya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab adalah manifestasi sikap tidak mengambilberat dan mengendahkan serta menghayati kandungan wasiat Raja-Raja Melayu tersebut.

Rakyat perlu mensyukuri dan menghargai di atas kebijaksanaan dan iltizam sembilan Raja-Raja Melayu yang telah menetapkan Tujuh Wasiat tersebut. Kebijakan Raja-Raja Melayu tersebut telah membawa kepada penggubalan Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11; Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153; dan Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras pembinaan negara Malaysia. Ia amat jelas, Raja-Raja Melayu mempunyai kepekaan dan iltizam yang tinggi untuk menjaga dan memelihara kepentingan agama Islam, Hak Istimewa Orang Melayu/Bumiputera, Bahasa Melayu, Keselamatan dan ketuanan Melayu serta hak-hak kaum lain di negara ini.

7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

WASIAT 1 : PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
Kami namakan dan Kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung ialah Persekutuan Tanah Melayu(Malaysia)

WASIAT 2 : TANAH SIMPANAN MELAYU
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytiharkan dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu, sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain

WASIAT 3 : REJIMEN ASKAR MELAYU
Bagi menjaga dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu,
kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu, selain untuk membanteras kekacauan dalam negara, dan ancaman dari luar negara

WASIAT 4 : RAJA-RAJA MELAYU
Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu

WASIAT 5 : AGAMA ISLAM
Kami isytiharkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan

WASIAT 6 : BAHASA MELAYU
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu

WASIAT 7 : KEDUDUKAN MELAYU
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi Kedaulatan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum Lain

Justeru, memahami dan menghayati Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu akan membantu membuka minda dan sikap positif, sekaligus mengelakkan tindakan mempertikai perkara-perkara bersifat sensitif secara sembrono, sekaligus bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo