TURKI – Mangsa Kesilapan Sendiri atau Konspirasi Kuasa Barat?


Ditulis oleh Prof Mohd Nazari Ismail
Jabatan Dasar dan Strategi, Universiti Malaya.

Semenjak parti Keadilan & Pembangunan (AK Parti) yang dipimpin oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan memerintah Turki, negara tersebut sangat dipandang tinggi dan dipuji oleh golongan Islamis di serata dunia. Ramai yang menganggap Turki sebagai negara contoh kerana dipimpin oleh golongan Islamis. Erdogan dilihat sebagai satu-satunya pemimpin yang mempunyai semangat Islam yang tulen kerana kejayaan beliau menumpaskan pimpinan sekular yang korup dan zalim yang telah berkuasa semenjak empayar Islam Othmaniah digulingkan oleh Kamal AtTaturk pada tahun 1925. Pertumbuhan ekonomi Turki semenjak Erdogan memerintah dijadikan hujah bahawa Turki berjaya kerana dasarnya yang Islamik.

Malangnya krisis ekonomi dan kewangan yang sedang berlaku di Turki sekarang membuktikan bahawa pendapat mereka adalah berdasarkan hujah dan analisa yang lemah serta dipengaruhi oleh emosi semata-mata. Akibat dari sentimen yang kuat untuk melihat Turki sebagai negara Islam yang berjaya, ramai telah gagal menyedari bahawa Turki sebenarnya mempunyai banyak aspek yang bertentangan dengan Islam dalam berbagai bidang.

Di dalam bidang hubungan antarabangsa, Turki mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang rapat dengan rejim zalim Israel. Dalam bidang ekonomi terdapat banyak amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh arak dijual dengan bebas dan bahkan menjadi salah satu sumber eskpotnya. Syarikat judi juga bebas beroperasi. Yang paling teruk serta tragis sekali ialah industri hutang (yakni Riba) juga bebas beroperasi. Akibatnya ramai rakyat dan banyak firma perniagaannya telah terjebak dengan beban hutang yang tinggi, termasuk dari sumber luar negara.

Semenjak Erdogan menjadi pemimpin Turki pada tahun 2002, ekonomi Turki memang berkembang dengan banyak. Namun ramai yang tidak sedar bahawa perkembangan tersebut adalah akibat dari aktiviti ekonomi yang bersumber dana hutang. Sistem ekonomi Turki sebenarnya tidak berbeza langsung dari sistem ekonomi negara sekular barat. Sistem kewangannya adalah seratus peratus berdasarkan sistem perbankan Riba. Sebenarnya mana-mana negara yang beramal dengan sistem ini akan hanya menunggu masa untuk menghadapi masalah, terutama sekali jika ekonomi nya telah melalui fasa pertumbuhan yang cepat. Ini adalah kerana pertumbuhan yang cepat tersebut adalah semata-mata akibat pertumbuhan aktiviti ekonomi yang dibiayai oleh dana yang dipinjam.

Ini lah yang telah berlaku kepada ekonomi Turki yang telah mengalami purata pertumbuhan sebanyak 4.86 peratus dari tahun 1999 sehingga 2018. Bahkan Turki pernah mengalami kadar pertumbuhan sebanyak 11.70 peratus pada suku pertama 2011. Namun apa yang tidak disedari oleh Erdogan ialah di dalam sistem ekonom berasaskan amalan Riba dan di mana industri hutang terus berkembang, sebarang pertumbuhan ekonomi akan juga bermakna jumlah hutang di kalangan rakyat jelata dan sektor korporat akan melonjak. Tambahan pula Erdogan telah menggalakkan pertumbuhan ini dengan memberi tekanan terhadap bank pusat Turki supaya menurunkan kadar bunga.

Erdogan menyangka bahawa oleh kerana agama Islam mengharamkan Riba, maka kadar bunga yang tinggi adalah sangat tidak baik sementara kadar bunga yang rendah adalah sesuatu yang baik. Ini adalah satu kesilapan kerana sebenarnya kewujudan industri hutang itu sendiri adalah tidak baik dan bukan kadar bunga yang tinggi semata-mata. Bahkan apabila kadar bunga menjadi rendah industri hutang akan menjadi lebih merbahaya kepada negara, terutama sekali jika nilai masyarakat adalah masih berbentuk materialistik dan tidak takut kepada amalan berhutang serta keliru tentang konsep kejayaan.

Dalam perspektif Islam yang sebenar, kejayaan adalah diukur atas dasar `Taqwa’ semata-mata dan bukan atas dasar kebendaan. Tetapi di Turki, masyarakat masih mengukur kejayaan individu dari segi pemilikan harta yang banyak atau pendapatan yang tinggi. Di peringkat negara kejayaan diukur semata-mata dengan melihat pertumbuhan ekonomi atau pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK).

Namun pertumbuhan ekonomi atau KNK yang akan berlaku sebenarnya akibat dari aktiviti yang dijana oleh dana hutang dan oleh itu pasti tidak akan kekal. Bahkan akibat dari jumlah hutang yang banyak, krisis kewangan akan bakal berlaku seperti yang telah berlaku di banyak negara termasuk Jepun pada tahun 1989, Korea dan beberapa negara Asia Tenggara pada tahun 1997, Argentina pada tahun 2001, Amerika Syarikat pada tahun 2008, dan beberapa negara Eropah pada tahun-tahun 2009.

Ramai yang gagal menyedari bahawa jumlah hutang Turki meningkat dengan tinggi semasa pemerintahan Erdogan. Sebagai contoh hutang sektor swasta berbanding KNK meningkat naik ke 170.80 peratus pada tahun 2016 berbanding hanya 159.40 peratus pada tahun 2015. Hutang isi rumah berbanding KNK negara pada tahun 2004 adalah bawah 5 peratus sahaja. Pada tahun 2017 ialah telah meningkat menjadi lebih dari 17 peratus. Dari aspek hutang luar pula, jumlah nya telah meningkat ke paras USD 500 bilion berbanding hanya USD 43. 9 bilion pada tahun 1989. Hutang dari sumber luar ini digunakan untuk mengimpot barangan yang banyak ke dalam negara Turki (berbanding ekspot) dan akibatnya ekonomi Turki mengalami defisit akaun semasa sebanyak $49 billion pada tahun ini. Saiz defisit ini diramalkan akan mencecah lebih dari 5 peratus berbanding saiz ekonominya.

Di samping itu hutang dari sektor swasta yang tinggi bermakna industri hutang atau perbankan telah mencipta wang dengan banyak dan akibatnya kadar inflasi di Turki adalah amat tinggi. Pada bulan Jun tahun ini, kadar inflasi Turki ialah 15.39 peratus dan ini adalah jauh lebih tinggi dari tahap yang ingin dicapai oleh bank pusat Turki iaitu 5 peratus. Bahkan purata kadar inflasi di Turki antara 1965 dan 2018 ialah 35.18 peratus. Keadaan inflasi ini bertambah teruk kerana nilai matawangnya iaitu Lira telah jatuh menjunam berbanding Dolar Amerika dan ini membuat kos barangan yang diimpot melambung naik. Keadaan akan bertambah teruk kerana ramai pihak akan menjual matawang Turki kerana bimbang terhadap masa depan ekonomi Turki.

Satu cara yang sering dicadangkan oleh pakar ekonomi barat untuk memastikan kejatuhan Lira dapat diperlahankan ialah dengan menaikkan kadar bunga di Turki. Namun langkah ini akan membuat kos pinjaman akan menjadi bertambah mahal dan banyak firma dan individu akan menghadapi masalah kewangan yang serius. Kadar kemuflisan sudah tentu akan meningkat dan eknomi akan menguncup dengan cepat.

Langkah ini sudah tentu akan cuba dielakkan oleh Erdogan kerana biasanya masalah ekonomi yang akan menyusul akan membuat rakyat marah kepada pemimpin. Bahkan sebenarnya episod yang sama pada tahun 2001 lah yang telah menggulingkan kerajaan sekular Turki yang lepas dan memberikan peluang kepada Erdogan untuk mengambil alih kuasa.

Apa yang mungkin boleh membantu Erdogan dari digulingkan ialah persepsi yang kuat di kalangan rakyat bahawa Turki adalah mangsa kepada konspirasi dunia barat untuk menjatuhkan pemimpin mereka yang disayangi kerana semangat Islam beliau yang kuat. Langkah Presidan Trump menaikkan kadar cukai yang tinggi terhadap ekspot keluli dan barangan lain dari Turki ke Amerika Syarikat sudah tentu akan menambahkan keyakinan dikalangan rakyat bahawa Turki adalah mangsa kepada manipulasi ekonomi oleh pihak-pihak yang bencikan Islam. Ini sebenarnya satu persepsi yang silap. Ramai yang tidak sedar bahawa sebenarnya sektor perbankan Eropah sangat bimbang dengan keadaan ekonomi Turki kerana jika ekonomi Turki hancur, maka hutang firma-firma Turki yang berjumlah ratusan billion kepada mereka juga akan tidak dapat dikutip.

Namun Erdogan adalah seorang ahli politik yang bijak dan beliau telah memperkuatkan persepsi ini dengan mengisytiharkan `perang ekonomi’ dengan Amerika Syarikat dengan menyeru rakyat Turki untuk memboikotkan barangan elektronik dari Amerika dan juga menaikkan kadar cukai terhadap beberapa barangan yang diimpot dari Amerika seperti kereta, rokok dan arak. Semua langkah ini mungkin akan menaikkan populariti Erdogan tetapi sebenrnya tidak akan membantu menyelesaikan masalah ekonomi Turki.

Sebagai rumusan, jika rakyat sesebuah negara mempunyai nilai materialistik yang tinggi dan masih menjadikan kemajuan ekonomi sebagai objektif utama negara, walaupun pemimpin nya mempunyai semangat Islam yang kuat, namun lambat laun negara masih juga akan menghadapi kemelut ekonomi. Kemelut ini akan semakin rumit jika negara masih beramal dengan sistem kewangan yang menjadikan sistem perbankan sebagai paksi kepada pertumbuhan ekonomi. Ini kerana tahap hutang yang tinggi akan menyumbang kepada kenaikan inflasi atau kos sara hidup. Jika hutang dari sumber luar juga tinggi, maka kemungkinan besar ekonomi negara akan ranap dengan cepat akibat dicekik oleh hutang tersebut.

Sama-samalah kita berdoa kepada ALLAH semoga Turki dapat mengelakkan dari bencana ini.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget