NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Transgender : Mufti Wilayah Seru Daulatkan Hukum Allah, Jangan Ikut Akal Semata-mata



Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti pelbagai isu dan juga pendapat para ulama dan cendiakawan serta pengamal undang-undang, kami berpendapat seperti berikut:

Perlunya rayuan dibuat dan kesungguhan dari semua pihak untuk mendaulatkan hukum dan fatwa yang telah diputuskan sementelahan lagi ianya berdasarkan nas syarak yang sarih lagi nyata. Alhamdulillah, tahniah kepada badan-badan yang terlibat hingga mampu mempertahankan Islam.

Memuliakan syara’ dan mematuhinya hendaklah mengatasi segala-galanya. Ia sekali-kali tidak boleh dihukum kepada hukum syara’ kerana ia datang daripada Rabb al-‘Alamin.

Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan. Hikmah Allah dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia.

Beralasan dengan penyakit tertentu tidaklah boleh diterima dengan begitu mudah apatah lagi ia merupakan kesongsangan jiwa dan watak yang sepatutnya dihalang untuk menjadi golongan yang ketiga dalam masyarakat.

Kami berharap agar rasa takut kepada Allah dan perasaan dalam hati untuk mentaati perintah Allah SWT dengan sami’na wa ata’na (kami dengar dan kami taat) hendaklah sentiasa terpahat di dalam sanubari setiap umat Islam.

Hukum bukanlah diasaskan kepada logik akal semata-mata atau merasakan sebagai kebebasan hak setiap manusia tetapi dalam Islam hendaklah berpandukan wahyu Ilahi dan hadyun nabawi (petunjuk nabi). Inilah yang mesti difahami oleh umat Islam.

Jangan sesekali mencabar fatwa yang diputuskan oleh para ulama kerana mereka bukan mengeluarkan hukum sesuka hati mereka dan juga mahu kepada pengaruh atau harta benda dunia tetapi fatwa yang diberikan mempunyai asas sandaran dan sumber yang muktamad daripada Al-Quran, al-Sunnah, qiyas dan juga ijma’.

Menghormati para ulama adalah salah satu daripada ciri muslim dan mukmin yang baik. Kalaulah kita tidak menghormati ulama maka siapa lagi yang patut kita hormati.


Saya berharap dengan keputusan yang telah dikemukakan, marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan melihat bahawa ini bukanlah lagi isu menang atau kalah tetapi sama-sama menghayati nas Ilahi dan Nabawi mengikut neraca syara’. Semoga dengan ini, hati kita dapat tunduk dan patuh kepada perintah-Nya dengan penuh keredhaan dan berjanji setia dengan kalimah karamah sami’na wa ata’na (kami dengar dan kami patuh).

Semoga kenyataan ini menjadikan kita bermuhasabah sebagai seorang mukmin yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Marilah sama-sama kita mencari mardhatillah.



Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

http://www.muftiwp.gov.my/v4/index.php?option=com_content&view=article&id=1820:siri-5-isu-transgender-tasyabbuh-atau-penyerupaan-hukumnya-edisi-kemaskini&catid=82&Itemid=408&lang=ms

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo