Terengganu: Mengorak langkah 100 Hari Kerajaan Negeri


Oleh YB DR AZMAN IBRAHIM

KALAU dilihat secara baca sepintas lalu, memang tak ada perkataan pertanian yang ditulis dalam Manifesto PRU14 PAS Terengganu.

Tapi kita perlu baca dan faham apa yang tersirat bagaimana Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa berperanan untuk mengisi kemenangan ini serta bergandingan bersama Portfolio lain dalam melaksanakan manifesto.

Tiga sasaran utama yang melibatkan Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa ialah:

1.     Bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduk miskin.

Data yang menyatakan bahawa 100 peratus penduduk Negeri Terengganu telah menikmati bekalan air bersih sebenarnya tak tepat. Masih ramai lagi penduduk desa atau luar bandar yang menggunakan air telaga atau boring air. Sebahagian besar mereka adalah rakyat miskin. Data Profil Kampung yang sedang dikemaskini perlu tepat dan menggambarkan situasi sebenar rakyat barulah pelan pembangunan boleh dirancang dengan baik. Janji untuk memberikan bekalan air percuma tak akan bermakna apa-apa bagi penduduk miskin yang belum menikmati kemudahan bekalan air. Di sinilah peranan Portfolio Pembangunan Desa mengambil tugas bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menyelesaikan isu bekalan air luar bandar.

2.     Menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.

Kita menyedari bahawa Terengganu bukanlah sebuah negeri industri. Persaingan untuk mengisi ruang di sektor industri di negeri ini agak tinggi. Terengganu masih lagi sebuah negeri pertanian.

Kita masih ada kira-kira 12 ribu hektar tanah kosong yang terbiar di seluruh negeri. Ramai orang muda belia Terengganu yang tak ada kerja. Pelbagai kemudahan kursus, khidmat nasihat teknikal serta kemudahan pembiayaan dan bantuan termasuklah kemudahan pasaran disediakan oleh pelbagai Jabatan dan Agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Perindustrian Nenas.

Saya menyedari bahawa belia kita tak dapat maklumat dan tak diberitahu tentang peluang yang boleh diceburi dalam bidang pertanian dan asas tani. Kerana itu saya telah mengambil langkah dalam siri program jelajah turun padang untuk bertemu dan berdialog secara langsung bersama rakyat di peringkat yang paling bawah bersama Jabatan dan Agensi berkenaan.

Batu Buruk, Kerteh, Bukit Payong dan Jabi antara lokasi yang telah diadakan program dialog bersama rakyat. Ghairah rakyat untuk mengetahui tentang peluang-peluang pertanian untuk mereka ceburi sangat baik sehinggakan program di Jabi turut dihadiri oleh petani dari Kuala Terengganu.

Kita perlu membangun dengan cara kita sendiri. Pertanian ialah suatu perniagaan dan sumber rezeki rakyat di samping menjamin 'food security'.

Matlamat awal saya, di bawah Program Sumber Rezeki Baru (SRB) paling minima setiap Dun mesti melaksanakan satu projek pertanian berkelompok untuk golongan belia. Orang muda belia mesti mencurahkan tenaga yang ada. Kerajaan Negeri membantu mana yang perlu.

3.     Mengembalikan tanah rakyat yang dirampas dan membuka permohonan tanah baru.

Tanah yang dirampas selepas 2004 adalah RTB Tapak Rumah dan RTB Pertanian. Begitu juga permohonan tanah baru majoritinya adalah tanah tapak rumah dan pertanian.

Tanah pertanian perlu diusahakan dan ditanam dengan tanaman. Tak dinamakan tanah pertanian jika hanya tumbuh semak dan lalang. Apa halangan yang menghalang dan apa masalah yang timbul sehingga rakyat tak dapat bertani adalah kerja kerajaan untuk mencari jalan penyelesaiannya. Kerana itulah pendekatan turun padang berjumpa masyarakat petani sangat perlu supaya kita boleh dengar sendiri suara hati mereka. Rakyat segan nak datang jumpa Pengarah Pertanian Negeri dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang. Exco Pertanian telah bawa Pengarah turun jumpa rakyat. Satu halangan birokrasi telah berjaya diatasi.

Halangan diatasi, peluang diberi dan bantuan disediakan maka rakyat boleh bekerja dan perlu bekerja. Saya yakin daripada 20 ribu peluang pekerjaan yang disasarkan dalam masa 4 tahun, sektor pertanian mampu menyumbang sebahagian besar peluang.

Industri padi di Terengganu dengan kawasan IADA KETARA di Besut sebagai pemain utama meliputi kawasan seluas kira-kira 5 ribu hektar melibatkan kira-kira 4 ribu orang petani.

Rancangan KETARA Fasa 2 dengan peluasan kira-kira 5 ribu hektar lagi kawasan penanaman padi di Besut dan Setiu di bawah KETARA telah diajukan oleh Jabatan Pertanian Negeri kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dari jumlah pengembangan keluasan tanaman padi ini, beberapa ribu lagi peluang pekerjaan mampu disediakan.

Infrastruktur pertanian dan asas tani di Negeri Terengganu yang dibina menggunakan ratusan juta wang rakyat saya telah kenal pasti banyak yang terbiar dan kosong. Projek Kelapa Matag Kubang Puyu, Projek Kambing Lembah Kaprima, beberapa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), ladang ternakan ayam, bebiri dan lembu tiada tanaman dan ternakan.

Saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyediakan Kertas Pelan Pemulihan Projek-projek Yang Terbiar untuk dimanfaatkan kembali.

Tentunya bila pemulihan ini berjaya, ia boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada beberapa ratus orang rakyat lagi.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembagunan Desa Negeri Terengganu.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget