Tahukah Anda Adab berdepan berita kematian?


UMAT Islam seharusnya terdidik dengan adab sopan termasuk ketika menerima berita mengenai kematian. 

KEMATIAN adalah suatu perkara yang pasti dan tidak dapat dielakkan. 

Suka atau tidak, bersedia atau belum, kematian itu akan datang kepada setiap manusia pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah sesuai dengan firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud:

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya."

Kematian bagi si mati merupakan 'janji' yang sudah pun ditunaikan. Sementelah, bagi yang masih hidup seharusnya mengambil kematian sebagai peringatan kepada diri untuk kembali berada di jalan Allah, melakukan kebaikan serta meninggalkan kemungkaran.

Malangnya, pada zaman serba moden ini, ada antara kita yang bukan sahaja tidak terkesan dengan perkara melibatkan mati, malah lebih parah cenderung 'mengaut' dosa angkara nipisnya fahaman tentang ajaran Islam yang sebenar iaitu berkaitan takdir kematian.

Bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita, sering kali perkara berkaitan kematian disandarkan sebagai petanda, amaran mahupun berpunca daripada sesuatu perkara.

Insiden sama turut terjadi apabila negara dikejutkan dengan pemergian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor iaitu Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei (Sungai Kandis) akibat kanser limfoma, disusuli mendiang Ng Tien Chee (Balakong) dan yang terbaharu, Dr. Shaharuddin Badaruddin (Seri Setia) yang menderita kanser usus.

Terdapat segelintir masyarakat, terutamanya di media sosial tanpa segan silu melontarkan pandangan dan pelbagai 'ramalan' termasuklah mengaitkan ia dengan kejatuhan pemerintahan, petanda kemurkaan Allah dan pelbagai lagi semata-mata kerana politik.

Tersasar
Kesal dengan perilaku negatif sebegitu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Mohd. Noor mengingatkan agar masyarakat, terutamanya orang Islam agar berhati-hati dalam berkata-kata, bimbang jatuh khurafat.

"Seperti rezeki dan jodoh, saat kematian, kita baik Islam dan bukan Islam hanya diketahui oleh Allah SWT. Tidak seharusnya kita sebagai orang yang beriman dengan al-Quran dan sunah untuk percaya kepada andaian dan sesuatu yang tidak berasas walau apa pun alasannya.

"Apabila wujud rasa percaya kematian sebagai petanda, bencana, keburukan mahupun kebaikan, tidak mustahil ia boleh jatuh sebagai antara dosa besar iaitu khurafat," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Wan Salim, seseorang manusia tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman kepada individu yang lain hanya kerana perbezaan yang wujud.

"Allah tidak jadikan situasi perbezaan termasuk agama, warna kulit, pandangan serta idea yang pelbagai itu sebagai sebab untuk kita bermusuh sehingga tiada batasan termasuklah soal kematian.

"Siapalah kita hendak menentukan, orang ini meninggal kerana ini dan itu, seolah-olah kita tidak akan mati suatu hari nanti. Jangan kerana terlalu taksubkan sesuatu, kita lupa bahawa kematian seseorang hamba Allah seharusnya memberi pengajaran kepada kita agar kembali ke jalan benar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar umat Islam lebih mendalami ilmu berkaitan adab apabila berdepan berita kematian.

"Selain mengucapkan istirja', jagalah sopan santun kita agar tidak mengguris hati ahli keluarga yang sedang bersedih, baik Islam mahupun bukan Islam.

"Selain itu, kembali kepada ajaran Islam untuk tidak membebankan si mati. Saya lihat kini, masyarakat seolah-olah sudah tersasar daripada konsep asal menziarahi jenazah. Sepatutnya keluarga si mati yang sedang bersedih, tidak perlu menyediakan makanan untuk tetamu tetapi sebaliknya," akhirinya.

Bersetuju dengan Wan Salim, Pakar Sosial Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi berkata, masyarakat khususnya kanak-kanak perlu diberi penekanan mengenai didikan formal tentang moral, adab dan tingkah laku sejak dari kecil bagi mengelak mereka melakukan sesuatu melampaui batasan simpati manusia.

Reaksi media sosial
"Jika faham soal adab, sudah semestinya mereka tahu tentang sempadan sensitiviti dalam masyarakat termasuklah tidak melontarkan kata-kata yang menyakitkan hati, tidak memberi komen atas dasar emosi dan peribadi serta tindakan yang tidak mencerminkan keperibadian manusia berakal.

"Penekanan adab melalui subjek Pendidikan Sivik dan Sosiologi perlu dititikberatkan sejak sekolah rendah lagi dan bukannya bermula pada peringkat menengah atau universiti," ujarnya memberi cadangan.

Katanya lagi, masyarakat negara ini berdasarkan cara memberi reaksi dan komen di media sosial dilihat memiliki tahap pemikiran dan mentaliti yang masih rendah dan tidak profesional walaupun negara sedang dihimpit kemodenan.

"Masyarakat kita tidak tahu membezakan perkara yang boleh dan tidak boleh disentuh. Kematian bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipolitikkan namun dek kerana kononnya berpegang pada kebebasan bersuara, empati dalam diri masyarakat dilihat semakin menurun.

"Bukan salah ibu bapa, guru mahupun media sosial tetapi kita seharusnya mencari solusi agar dapat mengembalikan rasional sesama kita agar lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam menuturkan kata-kata," tambahnya.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget