NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat Terbuka Kepada YAB Menteri Besar Selangor 


9 Zulhijjah 1439 | 21 Ogos 2018

1 - Saya berasa kesal membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari yang meminta Dr Halimah Ali meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) selepas beliau dinamakan oleh PAS sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil N32 DUN Seri Setia.

Rujuk : http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/prk-seri-setia-dr-halimah-perlu-letak-jawatan-lembaga-ppas-1.871033

2 - Begitu juga kekesalan dan kekecewaan saya akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Rujuk : https://m.malaysiakini.com/news/439639

3 - Adalah diketahui bahawasanya jawatan Dr. Halimah Ali dalam PPAS bukanlah berelaun bulanan sebagaimana syarikat berkaitan negeri (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

4 - Bahkan beliau kekal memegang jawatan tersebut kerana minat mendalam beliau akan bidang bacaan malah hasil sumbangan beliau pernah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'The Largest Outdoor Reading Event' yang berjaya mengumpul 15,271 peserta semasa penganjuran Pesta Buku Selangor di PPAS.

5 - Saya mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan usahlah bermain politik dendam murahan sebegini di saat mereka melaungkan hak demokrasi yang patut diberikan samarata kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Apakah demokrasi hanya terpakai kepada Pakatan Harapan sahaja?

6 - Politik sebegini hanya akan menyebabkan rakyat muak dan bosan akan kerenah kerajaan sediada seperti mana yang dihadapi oleh mereka daripada kerajaan Barisan Nasional terdahulu. Sekarang adalah masa untuk membina semula negara dan menunaikan segala yang dijanjikan kepada rakyat.

7 - Adakah Pakatan Harapan menyedari bahawasanya mereka kini merupakan kerajaan persekutuan yang mentadbir Malaysia pasca PRU14? Realitinya, mereka hendaklah bertindak seperti kerajaan dan bukannya masih mempunyai mentaliti pembangkang.

8 - Atau apakah kontroversi ini sengaja dicipta agar rakyat dapat dialihkan dari isu kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan manifesto 100 hari seperti yang dijanjikan atau isu pembantu khas kepada seorang menteri atau isu pemilikan tanah selama 999 tahun atau isu LGBT yang sedang hangat diperkatakan sekarang?

9 - Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr. Halimah atas sikap berjiwa besar beliau yang akan melepaskan jawatan dalam PPAS walaupun beliau layak untuk terus memegang jawatan tersebut kerana tidak mahu mencetuskan polemik yang berterusan.

Rujuk : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/464238/dr-halimah-akan-letak-jawatan-di-ppas

10 - Inilah yang seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memikirkan mengenai keutamaan agenda rakyat yang patut didahulukan berbanding agenda peribadi.

11 - Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada semua pengundi N32 DUN Seri Setia supaya keluar mengundi untuk memenangkan Dr. Halimah dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan tidak lama lagi bagi memastikan kerajaan Negeri Selangor mempunyai pembangkang yang kuat untuk proses semak dan imbang.

12 - Pencapaian dan kejayaan yang dilakarkan oleh Dr. Halimah semasa menjadi ADUN Selat Klang dan Exco kerajaan Negeri Selangor wajar dipertimbangkan oleh pengundi Seri Setia sebelum membuat keputusan yang pastinya akan menguntungkan masa depan mereka.

' Sik Sejahtera Bersama Islam '

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik
Ahli Parlimen Sik

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo