Sudut Pidato cetusan kebebasan bersuara


Oleh: Dr Ismail Sualman

KEMENTERIAN Pendidikan terus komited bagi melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran soft skill selain pencapaian akademik dalam kalangan mahasiswa.

Antara komitmen dalam Malaysia baharu adalah memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa dengan mewujudkan semula Sudut Pidato.

Universiti terkemuka dunia yang menganjurkan Sudut Pidato dan menjadikan acara utama kalendar mereka adalah Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Universiti Harvard.

Pidato umum merupakan aktiviti era 60-an dan 70-an yang digalakkan untuk menampilkan graduan berketerampilan dan mahir dalam pengucapan awam.

Maka ramai pemimpin dan ahli politik sekarang ini yang bemula di "sudut" khas yang dirangka untuk memberi peluang mahasiswa meluah dan mencetuskan pendapat dan perasaan mereka terhadap sesuatu isu.

Ketika itu, mahasiswa bukan sahaja berbicara persoalan dalam universiti atau kolej, tetapi juga mencakupi hal ehwal masyarakat, mencuit pentadbiran kerajaan yang difikirkan "tidak sesuai". Ini kerana mahasiswa mempunyai daya intelektual dan mampu membentuk pemikiran masyarakat dan awam.

Sebaik sahaja wujud demonstrasi Baling yang digerakkan mahasiswa, pihak kerajaan telah meminda Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) pada 1971. Maka, Sudut Pidato telah diharamkan berikutan pindaan Auku 1971 kerana ia disalahgunakan untuk berpolitik. Dengan pindaan ini telah mematikan gerakan mahasiswa di kampus.

Sebenarnya Sudut Pidato berasal daripada bahasa Inggeris sebagai Speakers' Corner. Ia adalah suatu kawasan di mana penuturan awam dibenarkan mengikut peraturan dan lunas yang telah ditetapkan. Sudut Pidato yang asal dan terkenal bermula di sudut timur laut Taman Hyde di London, England.

Beberapa Sudut Pidato lain yang terkenal, adalah Finsbury Park, Clapham Common, Kennington Park dan Taman Victoria dan juga kawasan lain di United Kingdom. Di sinilah mereka berhujah terhadap sesuatu isu secara bebas dan mempunyai pengikut serta penonton setia.

Para pemidato di sana dibenarkan untuk berucap asalkan pihak berwajib menganggapkan ucapan mereka mengikut undang-undang dan batasan yang dibenarkan. Bertentangan dengan metologi masyhur ia tiada keimunan (imuniti) dari undang-undang, dan tiada juga sebarang tajuk yang diharamkan.

Dalam amalannya pihak berwajib akan melayani dengan toleransi setiap ucapan dan penganjurannya dan hanya akan "masuk campur" jika mereka menerima sebarang rungutan atau apabila pemidato menggunakan bahasa kasar.

Sebagai merealisasikan aspirasi murid di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM), Kementerian Pendidikan mencadangkan pengucapan awam sebagai aktiviti kemahiran yang perlu digilap dalam kalangan murid-murid di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Hasrat ini selaras dengan Pembelajaran Abad 21 (PAK21) merupakan proses pembelajaran berteraskan konsep komunikasi, kolaborasi, pemikiran kreatif, serta aplikasi nilai-nilai murni dan etika.

Dalam hal ini setiap sekolah mestilah mewujudkan Sudut Pidato dengan melatih murid-murid agar mahir berucap dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Ia perlulah dilaksanakan semasa waktu rehat, sebagai aktiviti kokurikulum atau program khas seperti pertandingan pidato atau diterapkan dalam perancangan sekolah dan sebagainya. 

Di peringkat IPT, Sudut Pidato adalah pentas bagi mahasiswa mengasah bakat berucap dan menggalakkan perbincangan intelektual. Dengan galakan dan pewujudan semula Sudut Pidato, sebuah kepimpinan mahasiswa yang mempunyai ideologi tersendiri terbentuk sekiranya mahasiswa diberikan hak untuk bersuara.

Mereka jika diberi peluang akan merasakan bebas untuk berfikir dan melontarkan idea serta tidak takut untuk berbeza pandangan.

Langkah menganjurkan semula Sudut Pidato diyakini mampu melahirkan golongan mahasiswa bertanggungjawab serta mencorak kepimpinan cemerlang dalam kalangan mereka.

Selaras dengan misi nasional bagi mencapai matlamat pembangunan berasaskan ilmu pengetahuan dan inovasi, Sudut Pidato memberi lebih kebebasan bersuara kepada mahasiswa. Bagaimanapun Sudut Pidato di kampus perlulah mengikut peraturan dan berbeza daripada amalan pada era 60-an dan 70-an.

Antara panduan dan peraturan untuk mengadakan Sudut Pidato ialah menekankan aspek modal insan, berhemah, berasaskan fakta, bertanggungjawab dan hormat-menghormati. Sudut Pidato alaf baharu ini juga mestilah tidak menyentuh persoalan sensitiviti berkaitan dengan agama, bangsa dan raja-raja Melayu.

Usaha menyemarakkan Sudut Pidato ini selaras dengan era globalisasi kini, Malaysia sedang berusaha ke arah memupuk 'Minda Kelas Pertama' dalam kalangan rakyat sejajar dengan agenda utama negara.

Usaha dipergiat untuk membangunkan modal insan melalui saluran pendidikan untuk melahirkan individu-individu berketerampilan, mahir berkomunikasi dan mampu meneruskan arus pembangunan pada hari ini.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM



Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget