NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPR terima notis kekosongan kerusi DUN Seri Setia


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, notis pengosongan itu diserahkan Suee Lim pagi tadi berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, semalam.

"Kita baru saja menerima (notis pengosongan) sebentar tadi. Masih panas lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dijangka akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh berkaitan PRK Seri Setia minggu depan.

"Kita jangkakan mesyuarat khas SPR bagi menentukan tarikh mengundi, penamaan calon dan tarikh berkaitan PRK Dun Seri Setia akan diadakan pada minggu depan," katanya.

Shaharuddin, 56, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Pembangunan Modal Insan dilaporkan meninggal dunia akibat kanser usus di Hospital Putrajaya jam 6.28 petang semalam.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).

Kekosongan kerusi DUN Seri Setia bakal menyaksikan pilihan raya kecil ketiga diadakan di Selangor selepas Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, dan Balakong pada 8 September depan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo