NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sg Kandis: Tiada Bukti Ahli PAS Boikot – Sallehen



Tiada bukti kukuh yang menunjukkan ahli PAS telah memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi berkata, adalah tidak wajar jika ada pihak yang mendakwa penurunan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis disebabkan protes ahli parti itu.

"Undi yang diperoleh calon PKR pun menurun. Jadi kenapa tidak cakap ahli PKR pun tidak keluar mengundi.

"Janganlah kita membuat andaian semudah ini. Tidak timbul isu ahli PAS tolak calon BN atau sebagainya punca tidak ramai keluar mengundi," katanya kepada Watan Online pada Isnin.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu sebahagian besar ahli PAS mengambil sikap berkecuali serta tidak keluar mengundi, walaupun kepemimpinan parti itu mengarahkan mereka memenangkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratus pengundi keluar pada PRK DUN Sungai Kandis hanya 49.4 peratus, jauh tersasar daripada jangkaan awal iaitu 80 peratus.

Dalam pada itu, Sallehen berharap ahli UMNO dan BN akan memberi sokongan penuh kepada calonnya pada PRK DUN Seri Setia nanti.

"Kerjasama antara UMNO dan PAS yang dimulakan pada PRK DUN Sungai Kandis perlu diteruskan pula di PRK DUN Seri Setia.

"PAS dan UMNO tidak pernah mengumumkan secara rasmi untuk membentuk gabungan apatah lagi tahaluf siyasi. Persefahaman ini atas dasar demi agama Islam.

"Bentuk kerjasama bagi kedua-dua ahli parti ini, namun ia perlu diteruskan. PAS meminta ahli UMNO dan BN memberi undi kepada calon PAS di Seri Setia," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo