NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sg Kandis: pengundian tamat 5.30 petang, hanya 45 peratus keluar mengundi


SG KANDIS | Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini tamat selepas kesemua 19 pusat pengundian yang dibuka pada 8 pagi tadi ditutup serentak pada 5.30 petang.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 Shah Alam dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam ini.

Sehingga 4 petang tadi, peratusan yang keluar mengundi pada PRK ini adalah sebanyak 45 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus.

Sebanyak 51,217 atau 99.97 peratus pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

- Bernama



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo