PRK Seri Setia: Kagum dan kaget strategi PAS


oleh: Nazri Noor 

Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia tentunya kagum dan mampu berbangga dengan personaliti dan latar belakang calon PAS Dr Halimah Ali.

Beliau yang merupakan bekas ADUN Selat Kelang selama dua penggal, dan juga bekas exco Selangor di era Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi menteri besar ini tentunya mempunyai track record politik yang mengagumkan.

Tidak kurang hebat juga latar belakang keluarga, pendidikan, dan kerjaya yang cukup mengkagumkan. Apa tidaknya, belum pernah ada sebuah keluarga yang kesemua lapan orang ahli keluarga adalah doktor.

Beliau, suami dan 6 orang anak semuanya doktor. Hebat dan mengkagumkan. Syabas PAS.

Sebenarnya, tidak sedikit calon-calon PAS yang mempunyai latar belakang yang mengkagumkan. Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, PAS Selangor khasnya, dalam bahasa mereka sendiri, “membariskan tiga penceramah selebriti, dua calon bukan Islam, lima jurutera, lima doktor perubatan, dua akitek, tiga lulusan doktor falsafah, dua profesor madya dan seorang akauntan. Serta sembilan calon muslimat, satu angka yang mengatasi parti-parti lain, malah negeri-negeri lain yang PAS bertanding”.

Bagaimanapun, umum mengetahui, PAS menerima tamparan hebat di Selangor setelah kalah di semua kerusi parlimen, kalah di semua 15 kerusi kecuali satu kerusi DUN, dan hampir kesemua calon mereka tidak langsung diendahkan oleh rakyat tanpa mengira profesor atau selebriti. Malah 11 calon DUN dan empat calon parlimen mereka hilang deposit.

Calon-calon doktor PAS

Barisan calon yang mengkagumkan tidak semestinya membawa pulangan yang lumayan, malah sebaliknya terbukti membawa malang.

Tidak kurang hebat juga dengan trend untuk PRK. Ambil contoh 3 PRK yang terdekat, PRK Sungai Besar 2016, PRK Kuala Kangsar 2016, dan kini PRK Seri Setia, semua calon PAS adalah bukan sembarangan.

Tetapi secara kebetulan, kesemua mereka adalah doktor profesional. Dr Abdul Rani Osman di Sungai Besar, Dr Najihatussalehah Ahmad di Kuala Kangsar dan kini Dr Halimah Ali di Seri Setia.


Kebetulan atau tidak, itu bukan persoalannya. Persoalan yang lebih utama ialah, PAS berusaha menonjolkan tokoh yang berlatarbelakangkan profesional dan bukan konvensional ulama atau guru pondok.

Umum mengetahui akan nasib yang menimpa kedua-dua calon PRK yang lalu. Dr Rani yang kalah tercorot di tempat terakhir di PRK Sungai Besar terpaksa kembali ke tempat asal di parlimen Kapar untuk PRU ke-14.

Dr Rani berkesudahan tewas dengan defisit melebihi 16,000 di tangan calon PKR. Beliau cuma mampu memintas dua calon India. Kerusi yang beliau tinggalkan seterusnya dimenangi oleh calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14.

Dr Najihatussalehah pula, walaupun mampu menduduki tempat kedua mendahului calon AMANAH pada PRK Kuala Kangsar, namanya terus dilupakan selepas itu.

Calon AMANAH yang beliau ketepikan, Dr Ahmad Termizi pula terus dicalonkan untuk PRU ke-14, dan hampir berjaya memintas calon BN.

Yang pasti, kedua-dua calon yang impressive sebegini dilihat hilang dan dilupakan, setelah tewas di PRK.

Dr Halimah, Selat Kelang dan Seri Setia.

Rata-rata mengiktiraf bahawa Dr Halimah adalah sinonim dengan Selat Kelang. Beliau khasnya mempunyai asas dan sokongan yang kuat di Selat Kelang sejak tahun 1999 dimana calon PAS ketika itu ialah Dr Ahmad Supian.

Beliau sendiri mula bertanding pada PRU 2004. Walaupun tewas, beliau bangkit dan menang pada PRU 2008, dan berjaya mempertahankan kerusi pada PRU 2013.

Oleh kerana PAS memilih untuk keluar dari Pakatan Rakyat, dan bertanding bersendirian dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU ke-14, nasib tidak menyebelahi beliau kerana tewas tipis 500 undi.


Bagaimanapun, dengan sokongan Melayu disekitar 35 peratus, ini adalah satu pencapaian yang cukup mengkagumkan. Di takdirkan sekiranya dibuat pilihanraya semula di Selat Kelang pada hari ini, adalah tidak mustahil Dr Halimah akan memenangi semula kerusi ini dengan mudah.

Data dan statistik jarang menipu dan menyesatkan. Di lihat kepada statistik PRU ke-14 untuk DUN Seri Setia (di mana hasilnya PKR menang dengan majoriti hampir 20,000) jikapun digabungkan undi PAS dan BN, jumlahnya sekitar 14,000, jauh ketinggalan di belakang undi PKR sebanyak 29,000.

Jika di interpolasi dengan hasil keputusan PRK Sungai Kandis, dengan trend peratus keluar mengundi yang sama, di atas kertas, Dr Halimah bakal dimalukan dengan kekalahan defisit 14,000.

Pokoknya, medan untuk Dr Halimah adalah di Selat Kelang. Bukan Seri Setia. Adalah sesuatu yang mengkagetkan bagaimana strategi PAS me’nyah’kan Dr Halimah dari tempat ‘selesa’ di Selat Kelang untuk dikorbankan di Seri Setia.

Adakah Dr Halimah bakal bertemu nasib malang yang sama seperti dua doktor sebelum ini? Ataukah ada pertimbangan lain atau ilmu mantiq yang tidak boleh dibaca oleh pemilih Seri Setia (atau Selat Kelang?).

Pendeknya, pemilihan Dr Halimah tentunya membuatkan pengundi Seri Setia khasnya kagum, dan kaget.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget