NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perhilitan: Renjer Yang Hilang Selamat Dibawa Keluar


LIPIS – Renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang hilang di Hutan Simpan Yong, Taman Negara, sejak 11 Ogos lalu ditemui dalam lingkungan hanya empat kilometer dari kem pangkalan 2 (base camp 2).

Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, walaupun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sering melalui kawasan itu, namun mangsa Tarmizi Ahmad Japli, 30 hanya berjaya ditemui pada jam lebih kurang 4 petang semalam dalam keadaan keletihan tanpa sebarang kecederaan serta trauma. 

"Mangsa ditemui berhampiran sebatang anak sungai dan merupakan laluan pencarian yang sering dilalui oleh pasukan SAR, tetapi sebelum ini kita gagal menemuinya kerana tidak ada sebarang petunjuk atau tanda.

"Memandangkan keadaan di lokasi tersebut hutan tebal, laluan berbukit bukau, selain keadaan cuaca gelap serta mangsa juga dalam keadaan letih, maka kita mengambil keputusan untuk membawanya keluar pada hari ini. 

"Kita membawa mangsa ke kem pangkalan dua terlebih dahulu yang mengambil masa empat jam perjalanan sebelum dibawa keluar menggunakan helikopter Unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang menggunakan teknik winching," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini. 

Sidang media tersebut turut disertai oleh Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, Pengarah Perhilitan Pahang Ahmad Azhar Mohamed, Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hasan dan Pegawai Daerah Mohd Hafizi Ibrahim. 

Helikopter kemudian selamat mendarat di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini pada pukul 2.05 petang tadi sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan. 

Mohd Yusri berkata operasi pencarian selama dua minggu itu disertai oleh lebih 336 anggota SAR daripada pelbagai agensi penguatkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Unit K9, serta JBPM, Jabatan Hutan, badan bukan kerajaan dan orang awam. 

Ia meliputi kawasan pencarian seluas 40 kilometer persegi di kawasan taman negara terbabit. 

Pelbagai teknik pencarian telah dilakukan sepanjang operasi itu dilakukan termasuk menggunakan unit udara PGU dan JBPM selian menggunakan alat pengesan haba pada waktu malam, namun gagal menemui mangsa berikutan keadaan hutan yang tebal dan kawasan bukit berbukit bukau. 

Malah solat hajat turut dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh berkenaan dengan bantuan penduduk kampung. 

Sebelum itu Tarmizi yang berkhidmat dengan Perhilitan Kelantan dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu, semasa mengumpulkan dan mengemas kini data Program 1st National Tiger Survey di hutan berkenaan. 

Mangsa dilaporkan masuk ke hutan berkenaan pada 9 Ogos lalu bersama-sama enam lagi renjer melalui Felda Kechau 11 Kuala Lipis. 

Kehilangan mangsa disedari rakannya selepas menyedari mangsa tidak berada di belakangnya semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kem pangkalan dua sebelum kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis pada 12 Ogos. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo