NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pentadbiran Islam akan distruktur semula


KUALA LUMPUR 4 Ogos – Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan akan berperanan dalam proses menambah baik, melakukan perubahan dan menstruktur semula fungsi serta hala tuju institusi pentadbiran Islam.

Jawatankuasa Tertinggi tersebut yang diumumkan penubuhannya dengan persetujuan Kabinet pada Isnin lalu akan mula bersidang buat kali pertama selepas Majlis Letak Kerja dan Pe­nyampaian Watikah Pelantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Khamis ini.

Bercakap kepada Ming­guan Malaysia, Timbalan Pengeru­sinya, Datuk Dr. Afi­fi Al-Akiti memberi­tahu, jawatankuasa tertinggi itu akan memberi penumpuan kepada pelbagai aspek pentadbiran Islam meliputi badan berkanun serta agensi kerajaan, bidang kehakiman, mahkamah syariah, pe­rundangan, isu halal dan sebagainya.

Beliau yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford turut tidak menolak kemungkinan bahawa jawatankuasa ter­tinggi tersebut akan melihat kepada pindaan undang-undang yang menyentuh mengenai Islam sekiranya wujud keperluan.

"Kami akan bersidang, me­mang­gil semua pihak yang ber­kaitan termasuk menerima pandangan daripada wakil agama lain dan melakukan kajian selama 150 hari atau lima bulan sehingga hujung tahun ini sebelum satu laporan lengkap mengenai syor-syor jawatankuasa tertinggi dikeluarkan.

"Laporan ini akan menjadi buku panduan kepada pelaksanaan penstrukturan semula termasuklah sama ada mahu menukar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau hanya menukar namanya, mahu memperkasakan mahkamah syariah atau tidak dan sebagainya. Laporan itu akan bersifat komprehensif dan penting untuk masa depan kedudukan institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan bagi anak cucu kita.

"Malaysia kini seakan-akan sedang di ambang suatu krisis pertengahan usia selepas 61 tahun merdeka. Maka kita perlu mengambil peluang yang bersejarah ini untuk betul-betul me­lakukan, jika perlu perubahan, penambahbaikan dan penstrukturan semula semua institusi agama di peringkat Persekutuan," jelas beliau.

Isnin lalu, Majlis Raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima orang ahli yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara yang berkhidmat dari tahun 1990-1996, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Anggota Jawatankuasa Tertinggi itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan perkenan Raja-raja Melayu.

Menyentuh mengenai Jawatankuasa Tertinggi itu yang diletakkan di bawah Majlis Raja-raja Melayu, Dr. Afifi menjelaskan bahawa langkah tersebut bertujuan sebagai langkah pertama mengelakkan Islam daripada terus dipolitikkan di negara ini.

Atas faktor itu, ujar Dr. Afifi, keputusan untuk jawatankuasa tertinggi itu berfungsi berlandaskan perkenan raja-raja Melayu adalah tepat dan disokong oleh semua parti politik di negara ini sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

"Selain lima panel yang diumumkan sebelum ini, jawatankuasa tertinggi juga akan dianggotai seorang wakil masing-masing dari Sabah dan Sarawak sebagai menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963.

"Bukan itu sahaja, semua parti politik di negara ini akan terlibat dalam perbincangan dengan jawatankuasa tertinggi termasuklah daripada UMNO, Pas dan DAP. Setiap parti akan ada seorang wakil orang Islam dan nama-nama wakil tersebut juga telah diterima oleh jawatankuasa tertinggi," jelas beliau.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo