Pengisian Sebenar Kemerdekaan Di Era Malaysia Baharu



Oleh :Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan pada 31 Ogos setiap tahun adalah sempena memperingati peristiwa pengisytiharan penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu sendiri. 

2. Sejak Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, bermulalah era penjajahan di Tanah Melayu. Pada 1641, Melaka jatuh ke tangan Belanda dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda.

3. Kesan Perjanjian Pangkor 1874 yang mengundang campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri di Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang kemudiannya telah membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

4. Menerusi Perjanjian Inggeris-Siam 1909, Siam telah menyerahkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada British dan British telah memaksa negeri-negeri ini menerima seorang Penasihat British seperti di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang menerima seorang Residen British. Johor juga menerima seorang Konsul British pada 1895 yang kemudiannya ditukar kepada Penasihat Am pada 1914. Terengganu pula menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang dipaksa menerima Penasihat British pada tahun 1919.

5. Pada 1948 barulah Persekutuan Tanah Melayu dibentuk menggabungkan 9 Negeri-negeri Melayu (Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor) dan 2 penempatan British iaitu Pulau Pinang dan Melaka sekaligus memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan buat pertama kali.

6. Majlis bersejarah menyambut pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Raja-raja Melayu, perwakilan negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lain serta ribuan rakyat disemarakkan dengan laungan “Merdeka” sebanyak 7 kali yang diketuai oleh Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman. 

7. Selain Lagu Kebangsaan “Negaraku” buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi, diikuti selepas itu juga dengan seruan azan oleh tokoh agama, Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dengan Islam menjadi Agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.

8. Pada 16 September 1963 pula, Malaysia berjaya dibentuk hasil penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965. Sempena pembentukan Malaysia ini, Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun.

9. Setiap rakyat Malaysia tidak sepatutnya melupakan sejarah kemerdekaan negara ini yang merupakan sebuah perjalanan panjang dan payah yang ditempuhi oleh generasi terdahulu melibatkan semua tanpa mengira kaum, agama dan taraf sosial seseorang.

10. Kesanggupan mereka menumpahkan darah dan mengorbankan nyawa adalah demi membebaskan tanah air ini daripada penjajahan dan menubuhkan sebuah negara berdaulat yang baru sehingga semuanya saling bersetuju dengan suatu kontrak sosial semasa menggubal Perlembagaan Persekutuan.

11. Kedudukan agama Islam, peranan Raja-raja Melayu, keistimewaan orang-orang Melayu dan penggunaan Bahasa Melayu adalah antara yang telah dipersetujui secara bersama sejak dahulu sebagai teras utama keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara ini yang merupakan pengisian terpenting kemerdekaan negara selain hak dan kepentingan sah kaum dan penganut agama lain turut dijamin sama.

12. Oleh itu, manifestasi sebenar kemerdekaan ini adalah pada kesungguhan memelihara perkara ini disamping mengibarkan “Jalur Gemilang” dan mengadakan sambutan bagi meningkatkan lagi penghayatan terhadapnya.

13. Pasca PRU14 lalu kita disebut berada di era Malaysia Baharu setelah Kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh UMNO/BN sejak merdeka lagi kini diterajui pula oleh Pakatan Harapan (PH). Perubahan teraju Kerajaan ini tidak sepatutnya mengubah atau cuba mengubah teras utama ini sekalipun pada tafsiran dan lebih-lebih lagi pada isinya. Ia adalah asas yang tidak boleh dikesampingkan dalam arus pembangunan dan pemajuan rakyat dan negara ini.

14. Seterusnya, setelah 61 tahun merdeka, pengertian kemerdekaan itu mesti difahami dengan lebih komprehensif dan objektif. Ia tidak terhad pada aspek fizikal semata-mata, tetapi juga meliputi aspek mentaliti dan spiritual. 

15. Sekalipun pada aspek fizikal kita telah merdeka, namun pada aspek pemikiran dan kerohanian, harus diakui bahawa kita masih dibelenggu penjajahan. Ia sebagaimana disebut oleh Abu A'la al-Maududi, "telah pergi Inggeris berkulit merah tinggal lagi Inggeris berkulit sawo matang". 

16. Cara fikir atau pandangan hidup yang dipandu oleh kepentingan kebendaan dan individualistik telah mewujudkan pengabaian dan penganiayaan terhadap golongan yang lemah dan menjadikan manusia lari daripada tanggungjawabnya yang sebenar. 

17. Sistem kewangan dan perbankan berasaskan riba serta sistem percukaian yang berasaskan kepenggunaan (seperti GST dan SST) yang dicedok daripada model ekonomi Barat sebagai contoh terus menjadikan orang miskin semakin miskin dan orang kaya semakin kaya.

18. Kejiwaan yang kosong daripada menyedari dan mengingati bahawa manusia dijadikan oleh Tuhan, sentiasa diperhatikan oleh Tuhan, mesti mengikuti peraturan Tuhan dan akan dibalas baik atau buruk oleh Tuhan menyebabkan agenda menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran dianggap tidak penting dan dilihat sebagai pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang. 

19. Tidak hairanlah pelaku maksiat dan jenayah moral pula diraikan dan diberi penghormatan serta terbit ungkapan bahawa perlakuan LGBT adalah bukan jenayah dan tidak salah selagi ia dilakukan secara tersembunyi.

20. Maka, melatalah kerosakan di bumi ini; rasuah, salah guna kuasa, pembunuhan, rompakan, kecurian, seks songsang, rogol, penzinaan dan pelacuran serta keganasan rumah tangga berlaku saban hari seakan-akan menjadi perkara biasa sahaja.

21. Sedarlah, sesungguhnya kemerdekaan itu dicapai dengan memerdekakan fizikal, pemikiran dan kerohanian serta adat dan budaya daripada belenggu penjajahan Barat. Malah, kemerdekaan hakiki bagi seorang Muslim pula hanya dapat dikecapi apabila kita mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

”Sejahtera Bersama Islam"

Tarikh : Khamis, 30 Ogos 2018 | 18 Zulhijjah 1439H
_

PENULIS juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, AJK Kerja PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan dan Pengarah Strategi PAS Pusat. Pandangan dan aktiviti beliau boleh diikuti menerusi akaun FB (@drtakiri) dan Twitter (@drtakiri2016) rasmi beliau.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget