NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengasingan Kuasa, Kehakiman



Oleh: Salleh Buang
PENGASINGAN kuasa adalah satu doktrin politik yang mana mana badan perundangan, badan eksekutif dan kehakiman hendaklah diasingkan demi mengelak daripada berlakunya penyalahgunaan kuasa. 
KEPUTUSAN Yang Di­per­tua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada 2 Ogos lalu membenarkan Ahli Parlimen membahaskan isu 1MDB dalam prosiding dewan me­­legakan ba­nyak pihak terutama sekali pengamal undang-undang. 

Pada 2016, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menghalang Ahli Parlimen membahaskan isu 1MDB berhubung satu tindakan sivil oleh Jabatan Keadilan di Amerika Syarikat. Mempertahankan keputusannya atas alasan selaras de­ngan Standing Orders dewan, beliau menyatakan memandangkan kes itu difailkan di negara luar, mengapakah wakil rakyat kita mahu membahaskannya dalam Parlimen negara ini?

Kali ini, Mohamad Ariff pula menyatakan bahawa keputusannya membenarkan perbahasan dalam dewan adalah selaras de­ngan amalan badan perundangan di Australia dan United Kingdom.

Bagaimanapun, beliau me­ngekalkan perintah larangan (gag order) yang dibuat oleh Hakim Mohd Sofian Abd Razak sebelum ini yang tidak membenarkan apa-apa perbincangan mengenai kes jenayah 1MDB yang kini sudah menjadi sub judice. Perintah la­rangan tersebut dipohon oleh peguambela yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pro­siding mahkamah pada 5 Julai lalu.

Mohamad Ariff menegaskan ba­hawa beliau mengekalkan pe­rintah larangan mahkamah itu demi menghormati doktrin peng­asingan kuasa, yang menghendaki badan perundangan tidak campur tangan dalam perkara yang terletak dalam bidang kuasa badan kehakiman.

Soalnya apakah doktrin ini dihormati sepenuhnya di negara kita?

Dalam kes Pendakwa Raya lwn Kok Wah Kuan [2007] 5 MLJ 174, Mahkamah Persekutuan me­nyatakan bahawa "pengasingan kuasa adalah satu terma yang dicipta oleh ahli pemikir Perancis bernama Baron de Montesquieu. Ia adalah satu doktrin politik di mana badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman kerajaan hendaklah diasingkan, demi mengelak dari berlakunya penyalahgunaan kuasa."

Mahkamah menambah bahawa sementara negara ini (se­perti Amerika Syarikat) mempunyai perlembagaan bertulis yang memperincikan fungsi ketiga-tiga badan kerajaan, Malaysia juga mengikuti model Westminster (di mana tidak ada Perlembagaan bertulis). Oleh itu, perlembagaan negara ini mempunyai ciri-ciri­nya yang tersendiri (has its own peculiarities), kata mahkamah lagi.

Dengan lain perkataan, negara ini mempunyai acuan atau modelnya sendiri. Perlembagaan Malaysia memang mengan­dungi ciri-ciri pengasingan kuasa tetapi pada masa sama, ia juga mengandungi ciri-ciri yang tidak mematuhi doktrin itu, tegas mahkamah lagi.

Ketika berucap semasa pelancaran Kempen Perlembagaanku di Ipoh Perak pada Februari 2010, pengamal undang-undang Amer Hamzah Arshad menyatakan di bawah doktrin pengasingan kuasa ini, setiap organ kerajaan hendaklah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Oleh itu, suatu organ itu tidak boleh me­ngawal atau mengatasi organ yang lain kerana ini akan menyebabkan kepincangan dalam sistem demokrasi.

Sekiranya kita lihat kembali sejarah perundangan negara, pada asalnya Perkara 39 Perlembagaan menyatakan "Kuasa eksekutif Per­sekutuan hendaklah terletak hak pada Yang Dipertuan Agong..." manakala Perkara 44 menyatakan "Kuasa perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen..." dan Perkara 121(1) pula menyatakan "Kuasa kehakiman hendaklah terletak hak pada mahkamah".

Kesimpulannya, istilah penting "hendaklah terletak hak" (shall be vested in) wujud dalam ketiga-ketiga peruntukan. Kedudukan asal ini kini sudah tidak wujud lagi.

Pada masa ini, Perkara 39 (kuasa eksekutif) dan Perkara 44 (kuasa perundangan) kekal se­perti dulu, tetapi Perkara 44 sudah berubah. Ayat "Kuasa kehakiman hendaklah terletak hak pada mahkamah" tidak wujud lagi setelah pindaan dilakukan pada 1988. Kini Perkara 121 Fasal(1) hanya menyatakan "Hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi..."

Akibat perubahan pada Perkara 121 ini, ada pihak berpendapat badan kehakiman di negara ini nampaknya tidak lagi berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan badan eksekutif dan badan perundangan negara. Dalam pada itu, ada juga pihak lain yang menyatakan kuasa kehakiman yang ada dulu masih kukuh lagi kerana tajuk bidai Perkara 121 ini kini masih lagi menyebutkan "Kuasa kehakiman Persekutuan".

Berucap dalam satu forum sempena menyambut ulang tahun kelahiran Tunku Abdul Rahman yang diadakan pada Februari 2012 lalu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah berkata, pindaan Perkara 121(1) yang dilakukan pada 1988 itu amat tidak wajar sekali ("is so objectionable") kerana ia merupakan satu cubaan badan Parlimen menentukan (mengekang) kuasa badan kehakiman negara ini.

Sementara isu taraf "sama tinggi sama rendah" tiga badan kerajaan ini (ekoran pindaan Perkara 121(1) pada 1988 itu) terus menjadi polemik dalam kalangan peguam dan sarjana undang-undang, doktrin pengasingan kuasa ini tetap dihormati oleh badan kehakiman seperti boleh kita lihat dalam dua kes di bawah ini.

Dalam kes Lim Cho Hock lwn Speaker Dun Perak [1979] 2 MLJ 85, Ahli DUN Bukit Kepayang membangkitkan di mahkamah persoalan sama ada kerusi Spe­a­ker dikira kosong kerana Spea­ker berkenaan dikatakan telah gagal mengangkat sumpah sebagaimana Ahli-Ahli DUN yang lain. Hakim Abdoolcader memutuskan Dewan Undangan Negeri mempunyai kata pemutus sama ada Speaker itu telah hilang kelayakan atau tidak. Persoalan tersebut hendaklah diputuskan di dalam Dewan Undangan Ne­geri dan bukan di mahkamah, katanya lagi.

Kini tiga dekad telah berlalu semenjak Perkara 121(1) dipinda. Dalam iklim segar yang ada sekarang di mana beberapa "langkah pembaharuan" telah diambil oleh kerajaan baharu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, besar harapan penulis agar kerajaan dapat menilai kembali (revisit) sejarah silam Perkara 121(1) ini dan selanjutnya bertindak penuh berhemah mengembalikan semula (restore) versi asal peruntukan Perlembagaan ini seperti ia wujud pada 31 Ogos 1957, sekali gus meletakkan tiga badan kerajaan kita di kedudukan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo