NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendedahan IRI: Malaysia Dalam Bahaya



Kenyataan Rasmi
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

Pendedahan IRI: Malaysia Dalam Bahaya

1. Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Daniel Twining, Presiden IRI (International Republican Institute) di dalam satu forum yang bertajuk “Supporting Democracy In Challenging Times” di Washington pada 17 Julai 2018. Kita sedia maklum bahawa IRI merupakan sebuah badan pemikir berpengkalan di Amerika Syarikat.

2. Di dalam forum tersebut, Daniel mendedahkan bahawa IRI bukan sekadar menjalinkan hubungan dengan pemimpin pakatan pembangkang sejak 2002 (15 tahun lalu), malah menyalurkan bantuan strategi dan dana kepada parti-parti pakatan pembangkang pada waktu itu bagi menjatuhkan kerajaan sebelum ini.

3. Lebih daripada itu, IRI turut mengadakan perjumpaan bersama pemimpin kanan Pakatan Harapan di Pejabat Perdana Menteri setelah Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14) yang lalu.

4. Walaupun beberapa pimpinan PKR dan DAP menafikan tuduhan tersebut, namun PAS melihat penafian ini belum cukup disebabkan pihak IRI sendiri yang membuat pengakuan dan pendedahan tersebut.

5. Bagi PAS Wilayah Persekutuan, pendedahan dan pengakuan ini merupakan hal yang terlalu berat dan tidak boleh dipandang ringan. Tindakan membenarkan campur tangan asing akan mengakibatkan kuasa luar menjadi pencatur kepada pentadbiran serta hala tuju negara. Tambahan pula, ia juga meletakkan negara dan rakyat dalam suasana yang tidak selamat sekaligus negara bakal menerima ancaman besar daripada pertembungan kuasa Amerika Syarikat dan China.

6. Justeru, PAS Wilayah Persekutuan mewakili seluruh rakyat Wilayah Persekutuan mendesak agar pihak kerajaan mengambil langkah sebagaimana berikut:

i. Kerajaan wajib membuat penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap tuduhan yang dibuat oleh IRI. Sekiranya tuduhan ini adalah benar, kerajaan perlu mendedahkan berapakah jumlah dana yang telah diterima oleh Pakatan Harapan daripada IRI? Bagaimanakah dana tersebut disalurkan kepada pimpinan Pakatan Harapan? Apakah perjanjian yang termeterai antara Pakatan Harapan dengan IRI?

ii. Sekiranya pengakuan dan tuduhan IRI tersebut merupakan fitnah dan palsu, rakyat mendesak agar kerajaan Malaysia menyaman IRI atas pengakuan palsu yang dilemparkan kerana telah menjatuhkan maruah Malaysia dan seluruh rakyat negara ini.

iii. Pihak kerajaan turut didesak agar menubuhkan satu badan siasatan yang bebas bagi menyiasat keterlibatan IRI dan campur tangan politik dalam Malaysia. Hal ini penting agar Malaysia tidak menjadi boneka kepada mana-mana kuasa besar dunia.

iv. PAS Wilayah Persekutuan juga mendesak agar Akta Kawalan Dana Politik dan Politik Wang diluluskan di parlimen agar seluruh rakyat mengetahui sumber dan dana sesebuah parti politik. Hal ini penting agar tiada pihak luar yang campur tangan demi kepentingan kuasa luar. Akta ini telah PAS kemukakan dan draf akta ini telah diserahkan pada Pejabat Perdana Menteri sebelum ini.

7. PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar kerajaan dapat memberi maklumbalas dengan kadar segera dan mengambil berat dalam isu ini.

Haji Mohamad Noor bin Mohamad
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
10 Ogos 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo