NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBB: Bekas SU Agung Kofi Annan meninggal dunia

Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pemenang hadiah Nobel Keamanan, Kofi Annan telah meninggal dunia, kata Kofi Annan Foundation hari ini.

Annan, warga Ghana menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital di Bern, Switzerland, awal pagi Sabtu, menurut pihak yang rapat dengan Annan.

Kofi Annan Foundation di Geneva mengumumkan pemergian mendiang dan beliau dikelilingi oleh insan tersayang, isteri keduanya Nane serta anak-anaknya Ama, Kojo dan Nina, lapor Reuters.

Annan berkhidmat selama dua penggal sebagai setiausaha agung PBB di New York dari 1997 ke 2006 dan bersara di Geneva serta kemudiannya menetap di sebuah desa di Switzerland.


"Dalam banyak hal, Kofi Annan ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau berkhidmat dengan organisasi ini sehingga memimpinnya memasuki alaf baru dengan maruah dan tekad yang tiada tolok bandingannya," kata kenyataan Setiausaha Agung PBB Antonio Gutterres dipetik Reuters.

Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Zeid Ra'ad al-Hussein, memberi penghormatan kepada Annan sebagai "teladan terbaik manusia, lambang tata susila dan adab manusia".

Zeid, yang pernah mengkritik kuasa besar dan negara lain dalam tempoh empat tahun perkhidmatannya yang bakal berakhir pada bulan ini, berkata setiap kali beliau merasakan "terpencil dan bersendirian secara politik", beliau akan pergi bertemu Annan di Geneva.

"Pada suatu kali, saya memberitahunya bagaimana semua orang merungut tentang saya, lalu beliau memandang saya - seperti seorang bapa yang menatap anaknya - dan dengan tegas berkata: 'Anda melakukan perkara yang betul, biarkan mereka merungut.' Kemudian beliau tersenyum," kata Zeid, lapor Reuters.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo