NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Sambut Baik Tawaran Kerjasama MIC


KUALA LUMPUR – PAS menyambut baik kesediaan parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC untuk menjalin kerjasama dengan parti itu dalam pelbagai aspek demi kepentingan bersama.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, ia termasuk kesediaan MIC untuk memberi sokongan terhadap calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Seri Setia.

“PAS menyambut baik keterbukaan MIC yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam agenda kebajikan rakyat dan keharmonian kaum dalam negara.

“Perkara ini dinyatakan di dalam pertemuan antara Presiden PAS dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran di Pejabat Agung PAS Pusat hari ini,” kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua DHPP, Encik Balasubramaniam.

Manakala, di pihak MIC turut hadir Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K. Devamany dan Ketua Pemuda MIC, Datuk C.Sivarrajah.

Menurut kenyataan itu, Presiden PAS berkongsi pandangan terhadap kemajmukan kaum dan kepelbagaian agama dalam negara, serta keperluan untuk memberi kefahaman yang sebenar demi mewujudkan keharmonian antara agama.

“Presiden PAS merakamkan setinggi penghargaan kepada Presiden MIC di atas pertemuan yang bersejarah ini, serta menyatakan kesediaan untuk meneruskan usaha dialog antara kaum dan agama, demi mewujudkan perubahan yang lebih baik dalam negara,”katanya. – MYNEWSHUB.TV

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo