NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen: Penghapusan tol ditangguhkan kerajaan PH


KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan pelaksanaan pemansuhan bayaran tol di seluruh negara seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, keputusan penangguhan itu diambil selepas mengambil kira keadaan kewangan negara ketika ini.

"Kerajaan telah meneliti dan mengambil kira secara mendalam pelbagai faktor dan implikasi yang mungkin akan timbul akibat cadangan penghapusan tol lebuh raya di negara ini.

"Setelah menimbang faktor utama berkenaan, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan dahulu cadangan penghapusan tol sehingga keadaan ekonomi negara benar-benar stabil dan mengizinkan," katanya pada Sidang Dewan Rakyat di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin mengetahui mengenai senarai terkini tol-tol yang akan dimansuhkan bagi membantu meringankan beban rakyat dan jangkaan pelaksanaannya.

Baru memberitahu, anggaran kos pampasan tol yang terlibat sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan ialah melebihi RM400 bilion.

"Kerajaan menerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan meneliti opsyen-opsyen lain yang lebih praktikal bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara keseluruhanya," ujarnya.

Dalam pada itu jelas Baru, status keadaan kewangan negara hanya diketahui oleh PH selepas mengambil alih kerajaan. - K! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo