Parlimen: Medan sarkas atau Ahli Parlimen kelas pertama?

Oleh Zainudin Isa 

DEWAN Rakyat sekali lagi menjadi radar perhatian rakyat apabila  persidangan pertama yang mengumpulkan 222 Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bertukar menjadi gelanggang bertikam lidah yang melampaui paras kesopanan dan kesusilaan. 

Ramai menjangkakan semangat Malaysia Baharu atau reformasi Parlimen dapat meresapi semua Ahli Parlimen selepas terbentuknya kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan berakhir dominasi Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lalu. Rupa-rupanya ini tidak berlaku. 

Kita bertanya di mana kematangan politik mereka? Mentaliti dan gelagat 'melampau' sesetengah mereka masih sama walaupun sudah bertukar tempat daripada pembangkang menjadi pemerintah, manakala blok yang dahulunya pemerintah kini pembangkang. 

Dari hari pertama perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menyaksikan penyokong kerajaan, Ramkarpal Singh (PHDAP Bukit Gelugor) diarah keluar dewan dan digantung berkuat kuasa serta-merta kerana isu gengster. 

Kemuncaknya Selasa lalu, dewan sekali lagi kecoh apabila Ahli Parlimen Kinabatangan daripada BN/UMNO, Datuk Bung Moktar Radin mengeluarkan perkataan mencarut kerana berang terhadap Willie Mongin (PH-PKR Puncak Borneo) yang mengeluarkan perkataan 'kasino' ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018. 

Dua insiden ini sudah cukup bagi masyarakat untuk menghakimi tahap mentaliti YB atau 'Yang Berhormat' selepas mereka menanti-nanti mengikuti laporan berita baik di akhbar, radio, televisyen atau internet yang memberi inspirasi, harapan dan kepuasan buat mereka. 

Mereka mengimpikan wakil rakyat kelas pertama kerana di dewan keramat itulah isu dan permasalahan rakyat dibentang sebelum undang-undang digubal. 

Malangnya, institusi tertinggi dan mulia ini kerap jadi medan sarkas wakil rakyat baik ketika berhujah, berbahas atau mencelah. 

Kita bimbang gelagat YB yang menghamburkan kata-kata lucah dan nista ini diikuti secara live oleh jutaan penonton termasuk anak-anak kerana ia boleh bertukar menjadi 'virus' mempengaruhi bakal pewaris kepemimpinan negara. 

Aksi kasar, terpekik dan terlolong ini juga bukannya budaya rakyat Malaysia. Ia mungkin diterima di sesetengah negara, namun perlukah tingkah laku melanggari budaya kesopanan ini 'diimport' oleh Ahli Parlimen tempatan? 

Kita memahami, dalam menegakkan hujah akan timbul keadaan panas, namun jika bangkangan atau celahan itu bernas, berisi dan matang, ia dapat menaikkan integriti YB itu sendiri serta mengangkat kredibiliti demokrasi berparlimen negara kita. 

Justeru, adalah penting setiap wakil rakyat membuat 'kerja rumah' dengan berbekalkan fakta dan maklumat mencukupi sebelum membawa sesuatu isu untuk dibahaskan. 

Nah, di hadapan anda bertimbun-timbun isu keluhan rakyat dan negara - daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), royalti minyak untuk negeri pengeluar petroleum - sehingga polemik perkahwinan bawah umur. 

Berhujahlah dengan serius dan penuh bijaksana. Janganlah menyaringkan suara semata-mata untuk memancing nasib agar diberi publisiti di media sehingga terpampang muka dan aksi anda. 

Ketahuilah sikap wakil kerajaan dan pembangkang menjadi kayu ukur kepada rakyat membuat penilaian kemampuan parti yang diberi mandat menerajui kerajaan hari ini serta sejauh mana kemampuan menjadi pembangkang yang berkesan. 

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Digital Rencana dan Laporan Khas BH 

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget