NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Padang Kelab Sultan Sulaiman Saksi Kebangkitan Ummah



Oleh: NUSAIBAH IBRAHIM 

Kuala Lumpur,  31 Julai- Sebuah Himpunan Kebangkitan Ummah telah dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini kelmarin. 


Program himpunan yang menampilkan gabungan 300 buah badan bukan kerajaan tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat merentasi sempadan kaum dan politik yang mana mencatatkan kehadiran lebih 3000 orang peserta. 


Tujuan utama himpunan aman itu diadakan ialah untuk menzahirkan solidariti rakyat terhadap kedaulatan Yang DiPertuan Agung serta Majlis Raja-Raja Melayu, mengangkat keluhuran perlembagaan sebagai kitab panduan pemerintahan negara, dan menolak pengiktirafan Sijil Persendirian Bersama, UEC, selain ketidakpuas hatian rakyat terhadap perlaksanaan SST dan kenaikan harga minyak yang jelas bertentangan dengan janji manifesto pihak kerajaan Pakatan Harapan. 


Tokoh negarawan yang berucap di himpunan berkenaan termasuk bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan.


Selain pemimpin NGO, himpunan yang bertemakan 'Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam' turut dihadiri beberapa pemimpin Umno dan PAS, antaranya Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Datuk Asyrat Wajdi Dusuki dan Datuk Lokman Noor Adam.

Himpunan yang menggabungkan NGO seperti PPIM, ISMA, PERKASA dan PERKID telah diakhiri dengan menyuarakan 8 deklarasi  iaitu:

1) Semua tindakan dan keputusan kerajaan mestilah bertunjangkan asas perlembagaan negara tanpa jejaskan mana-mana fasa perlembagaan.

2) Keabsahan Islam sebagai agama negara dan hak istimewa orang Melayu tidak tergugat sama sekali, termasuklah tanah rizab Melayu, bantuan pelajaran dan sector awam.

3) Pengiktirafan UEC mesti ditolak kerana ia bukan sahaja bertentangan perlembagaan Negara dan Dasar Pendidikan Negara malah akan menyebabkan polarisasi kaum lebih ketara.

4) Kementerian Pendidikan mesti tegas tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

5) Semua urusan dan kenyataan rasmi oleh kerajaan mestilah menggunakan Bahasa Melayu.

6) Gerakan atau mana-mana pertubuhan yang membawa agenda Liberalisme, Pluralisme, Syiah dan LGBT berlandas pada nilai barat dan ekstremisme agama mesti dikekang.

7) Tindakan mesti diambil ke atas mana-mana pihak yang menghina dan memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu.

8) Menuntut kerajaan memberikan ruang kepada Ummah untuk berbincang dan meneliti sebarang polisi dan akta yang hendak dikemukakan di Parlimen.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo