NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nurul Izzah bantah pelantikan Rahim Noor


KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melantik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru untuk proses keamanan di selatan Thailand dibantah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Perkara ini dinyatakan melalui akaun Twitter miliknya yang menyifatkan Abdul Rahim sebagai penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah.

"Saya tegas menentang pelantikan seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah, ketika matanya ditutup dan tangannya digari serta dibiarkan terlantar tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.

"Kemudiannya berbohong kepada seluruh dunia mengenai lokasi dan nasib mangsa. Malu ke atas mereka yang melakukan kekejaman itu," katanya menerusi akaun Twitter.

Nurul dipercayai merujuk kepada peristiwa 'mata lebam' apabila bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul ketika dalam tahanan polis selepas pemecatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

"Kita semua mesti bersama dengannya. Kerajaan mesti membatalkan pelantikan ini dengan segera," katanya.

Abdul Rahim, 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim, sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) khususnya di selatan Thailand.






Like Berita: NEWS&TERKINI

https://www.facebook.com/groups/1910930102292848/3

Group Berita:

https://chat.whatsapp.com/3u5vHNCRnbZFXHECPMihhR

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo