NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Maszlee tak tahu arahan henti beli Utusan dikeluar penasihat?




Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau tidak mengetahui berhubung arahan menghentikan langganan akhbar Utusan Malaysia bagi institusi di bawah kementeriannya, namun tidak menolak kemungkinan itu langkah berjimat cermat.

Katanya, beliau akan membuat semakan terlebih dahulu dengan penasihat khasnya, Wan Saiful Wan Jan berhubung perkara itu.
"Saya tak pasti perkara itu, saya kena tanya dia (Wan Saiful) sebab sekarang ini kita dalam langkah berjimat cermat, banyak sangat surat khabar (dilanggani). Sekarang banyak (berita) online jadi boleh tengok online," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Satu memo dikatakan diedar melalui Wan Saiful mengarahkan sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan untuk berhenti melanggan akhbar berkenaan.
Memo bertarikh 18 Julai itu ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Sementara itu, Maszlee berkata, pihaknya mempunyai laporan dan bukti lengkap menunjukkan sesetengah pegawai tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bermain politik dan bukannya mendukung usaha meningkatkan kualiti institusi pendidikan.

"Memang banyak laporan berkaitan sesetengah pegawai yang begitu aktif dan berkempen bagi Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya umum lepas, malah mengenakan tindakan terhadap anggota akademik yang tidak menyokong BN pada masa lalu," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan mengenai penamatan perkhidmatan lima pengerusi universiti awam hari ini.

Maszlee menegaskan akan ada lagi pertukaran dan pemendekan tempoh lantikan pegawai pada masa akan datang, yang katanya bukan bersifat penyingkiran, tetapi sebagai usaha membawa agenda islah (reform) dalam institusi pengajian tinggi. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo