NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manifesto: PH Tidak Sangka Menang – Tun M


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) menghadapi kesukaran menunaikan janji pilihan rayanya kerana ia "membuat terlampau banyak janji" kerana percaya ia tidak akan memenangi pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Akhbar Straits Times Singapura (ST) melaporkan Dr Mahathir berkata demikian kepada Ahli Parlimen PH dan Parti Warisan Sabah dalam satu pertemuan tertutup Isnin lepas.

"Sebenarnya kita tidak menjangka akan menang, jadi kita sediakan sebuah manifesto yang tebal dengan pelbagai janji.

"Kita perlu berkorban bagi menunaikan janji kita. Jika kita tidak dapat menunaikannya, maka kita perlukan alasan kuat yang boleh diterima oleh rakyat," kata Mahathir dipetik akhbar terbabit.

PH berhadapan kritikan keras pelbagai pihak yang berkata kerajaan baru itu gagal menunaikan janji manifestonya dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kuasa seperti dijanjikan.

Bagaimanapun semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Ismail mempertahankan pakatan politik itu dan berkata ia tidak perlu meminta maaf atas kegagalan menunaikan sebahagian daripada janji yang dibuat.

Setakat ini PH berjaya menunaikan beberapa janjinya seperti menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pengenalan program caruman i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Janji lain termasuk subsidi petrol bersasaran, pelupusan hutang peneroka Felda, menyamaratakan gaji minimum, mengembalikan hak Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadadan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk peminjam berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, menyediakan skim penjagaan kesihatan untuk semua rakyat, menyiasat skandal dan mengkaji semula projek mega.

Menurut sumber, Mahathir mengemukakan contoh janji PH untuk memberikan status menteri kepada ketua pembangkang.

Beliau berkata, PH membuat janji itu kerana menjangka tidak akan menang pilihan raya.

"Tetapi kita menang, dan kini kita berasa tidak selesa untuk memberikan status menteri kepada ketua pembangkang," beliau dipetik sebagai berkata.

Wartawan Watan-Online


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo