Malaysia Akhiri Kemarau Pingat Emas Sukan Asia 2018


JAKARTA – Kontinjen Malaysia akhirnya menamatkan kemarau pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selepas trio boling wanita negara mengungguli acara itu pada hari keempat temasya sukan berkenaan, hari ini.

Gandingan Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi menyumbang emas dalam acara berkenaan dengan 4,326 jatuhan pin di Pusat Boling Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.

Kejayaan itu turut menamatkan penantian Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara berkenaan yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

Terdahulu, skuad sepak takraw negara meraih pingat perak setelah kalah 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand dalam acara regu berpasukan final di Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring.

Tambahan satu pingat emas dan perak itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-14 keseluruhan dengan kutipan satu emas, satu perak dan satu gangsa. Juara bertahan, China kekal unggul di tangga teratas dengan kutipan 38-30-15, disusuli Jepun (20-23-25), manakala Korea Selatan menduduki tangga ketiga dengan kutipan 11-15-23.

Untuk rekod, atlet taekwando negara, Yap Khim Wen menyumbang pingat gangsa dalam acara Poomsae individu wanita pada hari pertama, 19 Ogos lepas.

Dalam pada itu, gandingan memanah Korea Selatan, So Chaewon dan Choi Yonghee mencipta rekod baharu dunia dalam acara Compound campuran berpasukan (144 anak panah) dengan markah 1,412 mata.

Mereka memadam rekod terdahulu iaitu 1,410 mata yang dilakar pasangan Belanda, Jody Vermeulen dan Mike Schloesser pada Kejohanan Memanah Piala Dunia di Jerman, bulan lepas.

Hari keempat Sukan Asia turut menyaksikan satu rekod Asia berjaya dicipta oleh gandingan perenang China dalam acara 4x100m rampaian berganti-ganti campuran dengan catatan 3 minit 40:45 saat, sekaligus memadam rekod terdahulu iaitu 3:40:98 yang dilakar kuartet Jepun pada awal bulan ini.

Selain itu, 12 rekod baharu kejohanan turut dicipta pada saingan hari keempat pertandingan, iaitu masing-masing lima rekod dalam acara menembak, tiga dalam acara memanah dan empat rekod baharu dalam acara renang.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dalam beberapa acara pada hari kelima, esok, antaranya, ekuestrian, menembak dan boling,

Sandaran emas diletakkan kepada atlet ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil yang akan beraksi dalam acara final dressage individu, esok.

Beliau sebelum ini berada di kedudukan teratas pada dua aksi pusingan kelayakan sebelum ini. – BERNAMA​​​​​​​​​​​​​​
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget