NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KWSP: Tunku Alizakri Alias dilantik Ketua Pegawai Eksekutif

KUALA LUMPUR: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pelantikan Tunku Alizakri Alias sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, berkuat kuasa 20 Ogos ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi), mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.

KWSP dalam kenyataannya, berkata Alizakri menyertai KWSP pada 1 Januari 2014 dan berperanan menyelia dasar berhubung perlindungan sosial dan membangunkan produk serta perkhidmatan KWSP selain menguruskan strategi dan hal ehwal korporat, pembangunan insan dan bakat.

Selain itu, beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan yang bertanggungjawab untuk memastikan semua cadangan pelaburan mematuhi kawalan risiko dan tadbir urus KWSP.

Sebelum menyertai KWSP, beliau pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia, The Iclif Leadership and Governance Centre (Iclif), Digi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), Maybank dan Sime Darby.

Alizakri adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Cornell dan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari King's College, University of London.

Beliau diiktiraf sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Persekutuan dan diterima masuk ke Bar England dan Wales.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pihaknya gembira dengan lantikan berkenaan kerana pelan penggantian mantap yang dilaksanakan membolehkan Menteri Kewangan memilih calon dalaman yang bersesuaian.

Katanya, pelantikan itu menjadi kesinambungan ke arah prestasi yang lebih baik dan dapat memberi jaminan kepada ahli KWSP bahawa operasi organisasi itu akan terus berjalan dengan lancar.

"Selain itu, kita turut berbangga dengan pelantikan Shahril yang bakal memikul cabaran lebih besar di Khazanah.

"Beliau berjaya membawa KWSP ke tahap baru menerusi dividen yang lebih kukuh, sekali gus meningkatkan dasar KWSP serta khidmat pelanggan yang lebih baik.

"Terima kasih di atas perkhidmatan yang diberikan selama ini dan saya pasti Khazanah bakal memperoleh manfaat berdasarkan pengalaman yang dimiliki Shahril dalam menjadikan KWSP sebagai organisasi yang dihormati," katanya.

Sementara itu, Shahril turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Alizakri dan menyeru semua anggota memberikan sokongan penuh kepada beliau demi kejayaan masa hadapan membabitkan program transformasi operasi dan digital organisasi.

"Dengan berkat sokongan kukuh daripada semua Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan serta barisan pengurusan kanan yang lain, saya percaya beliau akan memacu agenda kesejahteraan sosial negara.

"Pelantikan ini adalah berita yang amat dialu-alukan demi menjamin kesinambungan usaha kita dalam menentukan prestasi KWSP sentiasa pada tahap cemerlang," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo