NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KSN: Ali Hamsa serah tugas kepada Ismail Bakar



Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa yang tamat kontrak perkhidmatannya esok.

Perkara itu disahkan Ali menerusi Twitternya hari ini yang memuat naik kenyataan berserta gambar pada majlis penyerahan tugas antaranya dengan Ismail hari ini.

Menerusi tweetnya, Ali berkata, beliau menyerahkan nota serah tugas kepada Ismail yang bakal menggantikannya sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-14.

"Tahniah dan selamat maju jaya DS (Datuk Seri)," katanya.

Sebelum ini memetik sumber Pejabat Perdana Menteri, kontrak Ali yang berakhir pada 29 Ogos ini tidak akan disambung.

Difahamkan, perkhidmatannya sebelum ini disambung secara kontrak ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ali yang berusia 63 tahun memegang jawatan berkenaan sejak enam tahun lalu.

Ismail pula berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan dan sudah berkhidmat lebih 32 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 13 Januari 1986 dan antara jawatan lain yang pernah disandang Ismail termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan, Ibu Pejabat Bank Dunia, Washington D.C, Amerika Syarikat.

Sebelum ini, beberapa nama turut dikaitkan untuk mengisi jawatan tertinggi perkhidmatan awam itu termasuk bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kini dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo