NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan PH 'dera' IKSIM?


SUDAHLAH tidak mendapat gaji, dihina pula apabila diminta meminta gaji daripada Jabatan Perdana Menteri.

Inilah nasib menimpa kakitangan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang telah disekat dana operasinya sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dilapor berkata kakitangan IKSIM yang tidak mendapat gaji boleh datang meminta gaji dari pihaknya.

"Petugas IKSIM yang tidak mendapat gaji boleh datang terus kepada kami, Insya Allah agensi di bawah kami boleh membuat pembayaran wang secara terus kepada mereka," katanya dilapor Bernama hari ini.

Fuziah tidak menerangkan secara terperinci bagaimana kakitangan terbabit boleh memohon dan kenapa pihak kementerian sedia pula membayar gaji kakitangan IKSIM yang disekat gajinya oleh pihak kementerian di bawah beliau sendiri.

Daripada apa yang dinyatakan, pihaknya akan membayar secara tunai terus kepada kakitangan IKSIM yang datang meminta bantuan.

Beliau sendiri telah menyatakan yang IKSIM tidak mematuhi peraturan tertentu hingga menyebabkan dana zakat untuk membiayai kegiatan badan itu disekat.

Tindakan membantu membayar gaji ini dilihat sebagai bersifat politik dan gimik kerana ia bukan satu proses yang biasa menurut amalan.

"IKSIM ialah syarikat jaminan terhad melalui jaminan RM1 juta oleh satu daripada agensi di bawah JPM. Kami tidak ada kuasa ke atas IKSIM tapi dana yang dikeluarkan oleh agensi tersebut adalah di bawah tanggungjawab kami.

"Pemberian dana bukan disekat begitu sahaja tetapi ia melibatkan aspek undang-undang serta amalan penggunaan kewangan yang didapati wujud perkara yang boleh dipersoalkan," katanya lagi.

Apa yang dinyatakan Fuziah ini juga menimbulkan kekeliruan kerana kerajaan PH menyekat dana tetapi kemudian bersedia membantu kakitangan yang tidak mendapat gaji.

Malah, Fuziah telah menyembunyikan isu sebenar, yakni dana operasi IKSIM yang melibatkan juga sewa dan kos operasi lain.

Tindakan menunjukkan simpati dengan membantu membayar gaji tidak mengubah hakikat bahawa IKSIM dimusuhi oleh kerajaan PH dan sedang berada di penghujung hayatnya.

IKSIM ialah antara pihak yang banyak mendedahkan isu melibatkan aktiviti gerakan liberal di Malaysia, yang ramai daripadanya juga terlibat dengan parti-parti komponen PH.

Ini menyebabkan IKSIM dimusuhi oleh aktivis liberal dan pemimpin-pemimpin PH termasuk Dr Mujahid Yusof sendiri yang kini menteri di Jabatan Perdana Menteri. – Mynewshub.tv

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo