NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet dijangka muktamad kadar gaji dalam masa terdekat


Kulasegaran (dua, kanan) beramah mesra bersama kontinjen negara pada majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke ASC Bangkok 2018 di KLIA hari ini. Turut kelihatan, Nidzam (kanan). --fotoBERNAMA

SEPANG: Penetapan kadar gaji minimum baharu sektor swasta dijangka akan dimuktamadkan dalam mesyuarat kabinet pada minggu ini atau minggu depan.

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata kerajaan akan menetapkan kadar seragam bagi gaji permulaan sektor swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kertas cadangan tersebut telah dikemukakan kepada jemaah menteri.

Katanya Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara telah menjalankan kajian dan rundingan dengan kesatuan pekerja, majikan, badan-badan bukan kerajaan dan sebagainya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis pelepasan kontinjen negara ke Asean Skills Competition (ASC) di Bangkok, Thailand 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, katanya kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 48 penuntut Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta menyasar untuk membawa pulang lebih pingat emas dalam menerusi 24 bidang kemahiran yang disertai dalam kejohanan yang bermula pada 26 Ogos hingga 4 Sept depan tersebut.

"Bidang dandanan rambut, masakan, welding (kimpalan) dan industri automasi adalah antara kekuatan pasukan Malaysia yang diharapkan boleh membawa pulang pingat emas pada kejohanan kali ini," katanya.

ASC adalah pertandingan kemahiran berprestij dwitahunan dan disertai belia berkemahiran dari semua negara anggota Asean yang berusia 22 tahun ke bawah kecuali bidang mekatronik yang melibatkan penyertaan beliau berusia 25 tahun ke bawah.

Pencapaian terbaik kontinjen Malaysia adalah pada ASC 2016 di Kuala Lumpur ketika dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan memungut 22 pingat emas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran yang juga Chief de Mission Nidzam Kamarulzaman berkata kontinjen Malaysia komited dalam mengatur strategi bagi memastikan pencapaian yang lebih cemerlang pada kejohanan kali ini.

"Kita menyasar membawa pulang lebih 10 pingat emas kerana negara tuan rumah (Thailand) akan memberi tentangan hebat kepada pasukan Mlaaysia," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo