NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johor: Had Tempoh Jawatan Mb Tak Perlu Pinda Undang-Undang - Mb 



ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor berpendapat tiada keperluan untuk mengadakan pindaan bagi memasukkan klausa yang mengehadkan jawatan menteri besar tidak lebih 2 penggal.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata, ini kerana kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) memang berpegang kepada prinsip dan dasar pentadbiran itu, sekali gus pindaan itu tidak perlu dilakukan jika semata-mata mahu menunjukkan keikhlasan dan kejujuran kepada rakyat.

"Mengenai tawaran dalam manifesto, iaitu mengehadkan jawatan menteri besar tidak lebih 2 penggal, secara asasnya kami di pihak PH telah mencapai persetujuan bersama untuk memberikan tempoh maksimum 2 penggal untuk jawatan menteri besar mentadbir.

"Tempoh ini dirasakan paling sesuai untuk melaksanakan segala pelan pembangunan yang dirancang.

"Ini juga dipersetujui di peringkat persekutuan di mana seseorang yang memegang jawatan perdana menteri juga tidak boleh melebihi tempoh 2 penggal," katanya pada ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Osman berkata had masa tersebut juga dibuat bagi memastikan ketelusan dalam urusan pentadbiran selain dicapai secara konsensus kepimpinan tertinggi PH yang melibatkan 4 parti.

Sementara itu, mengenai pemilihan ketua kampung, beliau berkata ia akan selesai tidak lama lagi dengan kerajaan Johor mengumumkan pelantikan untuk 674 jawatan kosong itu menjelang September ini.

Menurut Osman, pemilihan ketua kampung mengambil sedikit masa bagi memastikan setiap individu dilantik benar-benar layak untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Walaupun ketika ini jawatan ketua kampung masih belum di isi oleh mana-mana individu lagi, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan untuk semua penghulu di setiap DUN bagi menggalas sementara tanggungjawab berkenaan, sekali gus melancarkan proses sokongan kerajaan negeri untuk manfaat masyarakat," katanya.

Osman berkata kerajaan negeri sudah membuat temuduga secara terbuka yang lebih telus dan tidak melibatkan individu daripada parti politik sebagai panel temuduga.

Katanya ia hanya melibatkan pegawai daerah, ketua penolong pegawai daerah dan kadi daerah.

"Ini membuktikan kerajaan negeri Johor yang baru tidak sama seperti kerajaan lalu yang mempolitikkan pemilihan ketua kampung dengan melibatkan ketua bahagian parti atau ahli politik dalam pemilihan ketua kampung.

"Perkara seperti ini tidak akan berlaku dalam sistem pentadbiran di bawah pimpinan saya sebagai menteri besar Johor. Kerajaan negeri akan pastikan individu yang layak berdasarkan merit akan dipilih sebagai ketua kampung bukan hanya berdasarkan politik semata-mata," katanya.

– FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo