NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jenazah Mahadzir Lokman Selamat Dikebumikan


KUALA LUMPUR – Jenazah ikon penyiaran negara Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Kolej Islam Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya, di sini, pada kira-kira 9.35 pagi sebelum disolat dan dikebumikan kira-kira 10.10 pagi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila ratusan anggota keluarga, rakan artis dan penggiat seni tanah air memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Adik Allahyarham, Ida Lokman berkata arwah abangnya itu memang rapat dengan keluarga, malah sentiasa memberi galakan kepadanya terutama semasa beliau kehilangan suaminya, 15 tahun lepas.

“Abang saya (Mahadzir) seorang yang bermotivasi dan saya sering dimotivasi olehnya untuk terus berusaha dan berjaya dalam hidup.

“Saya mendengar nasihatnya kerana itulah saya mampu untuk berdikari demi membesarkan anak-anak saya,” katanya ditemui pemberita di tanah perkuburan berkenaan.

Ida berkata Allahyarham meninggal dunia selepas menunaikan solat Subuh akibat kesukaran bernafas dan ditemui terbaring di atas katil di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

“Arwah mungkin kepenatan akibat sering ‘travel’ atas urusan kerja. Tambah, arwah bukannya sihat sangat kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, penyanyi rock tanah air, Amy Search berkata pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar dalam industri penyiaran negara dan menyifatkannya sebagai seorang yang kelakar dan suka ‘mengusik’ rakan-rakannya.

“Kali terakhir saya jumpa beliau (Mahadzir) adalah di sebuah majlis Hari Raya Aidilfitri lalu, di mana waktu itu Allahyarham masih sihat. Kami memang rapat dan beliau sangat menyayangi kawan-kawannya, saya amat terkejut dengan pemergian Allahyarham dan saya akan rindukan usikan dia,” katanya.

Pengerusi Yayasan Artis Malaysia Datuk DJ Dave berkata Allahyarham adalah seorang ‘master of ceremonies’ yang mempunyai kepakaran dan sentiasa berjaya menghidupkan suasana ketika mengacarakan sesuatu majlis.

“Beliau seorang yang kelakar dan pandai menarik perhatian orang ramai ketika menjadi pengacara, seorang yang serba boleh kerana boleh menjadi penyanyi dan pelakon dalam satu masa. Saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Allahyarham Mahadzir yang disahkan meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi semalam dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan yang dihidapinya, pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Mahadzir memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita bahasa Malaysia dan Inggeris pertama di stesen TV3, pada tahun 1984 dan pernah menjadi pengacara pertama bagi beberapa program televisyen terbitan stesen itu, antaranya Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi.

Allahyarham kerap diundang sebagai pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa kerana kefasihannya bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol dan Itali. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo