“IRI: Isyarat Kecemasan Buat Malaysia"



oleh: YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

1.     Pengakuan terbaharu Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining perlu dilihat sebagai isyarat kecemasan terhadap hal ehwal kedaulatan dan keselamatan Malaysia. Ia antara petunjuk wujudnya hubungan pihak tertentu di negara ini dengan badan pencatur agenda politik sulit Amerika Syarikat (AS) itu.

2.     Bahkan pengakuan tersebut harus dibaca sebagai ungkapan kegembiraan dan kemenangan pihak tersebut menjayakan misi serta agenda mereka terhadap negara ini. Di mana anasir dalam negara ini juga telah menjadi 'pintu masuk' atau 'tapak' bagi pergerakan yang menjurus kepada campur tangan politik asing itu.

3.     Badan seperti ini memiliki kaitan rapat dengan agensi perisikan, namun mengelola doktrin dan propaganda mereka menerusi pendidikan, latihan dan pendanaan. Paling menjadi sasaran adalah negara yang dilihat berpotensi membangunkan Islam atau pihak pembawa agenda Islam fundamental.

4.     Lantaran itulah seawal 1990-an, pelbagai kemelut hiruk pikul yang menghodohkan wajah Islam dicipta ke mata umat dunia, selain kacau ganggu di negara-negara umat Islam. Islam ditunjukkan sebagai berwatak antagonis, sedang mereka berlagak hero, selain mencipta dan menaja gerakan ekstremis sedunia dengan nama Islam.

5.     Rantau ini, termasuk Malaysia tidak terkecuali khususnya menerusi serangan pemikiran Sekular, Liberal, Plural dan seumpamanya. Juga dengan mencemari dan memperalatkan demokrasi untuk mengaruskan massa secara terancang kepada satu sokongan yang boleh dicengkam mereka.

6.     Natijahnya sedang kita lihat pasca PRU14 apabila ketara sekali unsur gugatan dan ancaman terhadap tonggak-tonggak negara. Apakah rakyat khususnya umat Islam Malaysia masih belum sedar segala cabaran dan petaka halus ini? Kita tanpa sedar menghadapi penjajahan bentuk baharu yang lebih licik untuk menguasai.

7.     Sehubungan itu kami menegaskan bahawa semua hubungan sulit terjalin antara anasir di dalam negara ini dengan pihak tersebut adalah satu kecurangan, bahkan pengkhianatan kepada negara. Kami menggesa pihak tertinggi keselamatan negara segera peka melaksanakan kontigensi sewajarnya.

8.     Usaha pencegahan, semakan, siasatan dan pemantauan wajib dilaksanakan sebersih-bersihnya untuk menanganinya. Kita tidak harus menolak bahawa pihak yang punya hubungan berkaitan kini menerajui puncak kuasa pemerintahan negara. Sesuatu yang amat menggerunkan dan wajar dibimbangi.

9.     Bagi pihak rakyat, kami mahu penjelasan pihak berautoriti terhadap status dan perkembangan semasa perkara ini. Juga dinyatakan langkah susulan bakal diadakan untuk menghadapinya. Segala penafian semata, lebih-lebih lagi dari ahli politik tidak harus dijadikan alasan 'menutup buku' atau diabaikan.

10.     Kami juga menuntut jaminan Kerajaan Persekutuan supaya semua kemungkinan ini jika dibuktikan, mestilah diambil tindakan menurut undang-undang. Sebarang pilih kasih atau menjaga kepentingan pihak tertentu khususnya anggota komponen politik bersama juga adalah jenayah yang wajib dibenteras.

“Sejahtera Bersama Islam"
“Mara Menuju Cita"

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget