NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Iksim: Kenyataan Mujahid berbaur fitnah



PETALING JAYA: Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) mendakwa kenyataan Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa tentang dapatan audit dalaman ke atas badan pemikir itu bersifat fitnah.

Iksim dalam kenyataan berkata dakwaan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Parlimen hari ini berdasarkan dapatan pasukan audit dalam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang "separuh masak".

"Menteri membuat satu bentuk dakwaan berdasarkan laporan pasukan audit dalam MAIWP yang bukan juruaudit bertauliah. Dapatan mereka masih bersifat separuh masak kerana belum dijalankan 'exit conference'," kata Iksim.

"Exit conference" ialah mesyuarat bertujuan menyampaikan keputusan audit kepada pihak pengurusan dan mendapatkan komen mengenai penemuan dan syor yang dicadangkan sebelum draf laporan audit dikeluarkan.


Iksim berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pasukan audit dalam terbabit dan masih menunggu "exit conference" yang ditangguhkan 3 kali oleh MAIWP.

Terdahulu, Putrajaya menyekat semua dana dan aktiviti Iksim serta merta, selepas audit mendapati wujud penyalahgunaan kuasa dan pengurusan dana yang tidak telus.

Mujahid berkata RM7.4 juta daripada RM7.6 juta yang diterima daripada MAIWP tidak direkodkan dan tiada bukti di mana ia dibelanjakan, untuk apa yang dibelanjakan, dan berapa jumlah dibelanjakan.

"RM7.4 juta dana yang dibangkitkan menteri berpunca dari prosedur kerja dan tatacara perakunan yang berbeza di antara MAIWP dan prosedur yang digunapakai oleh Iksim," kata badan pemikir itu.

"Setiap ringgit yang diuruskan perbelanjaan oleh IKSIM mempunyai rekod terperinci dan boleh disemak dalam masa beberapa minit. Akan tetapi pasukan Audit MAIWP menganggap perbezaan itu sebagai kesilapan."

Iksim memaklumkan mereka bukan anak syarikat MAIWP, tertakluk bawah Akta Syarikat, dan diaudit bersih sejak ditubuhkan oleh juruaudit bertauliah.

Badan pemikir itu mengingatkan kenyataan dan dakwaan oleh Mujahid itu tidak diberikan imuniti kerana ia dibuat di luar Dewan Rakyat.

"Justeru sesiapa yang memanjangkannya boleh terjebak dengan tindakan undang-undang," katanya.

Iksim ialah sebuah institut yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penubuhannya diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jakim, MAIWP dan Majlis Agama Islam Negeri.

Iksim diperbadankan pada 9 Disember 2014 dengan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu untuk menegakkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo