NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

IKSIM, JAKIM bakal terkubur?



Oleh: ALANG IBN SHUKRIMUN 
09 August 2018 

ANDA tahu kenapa IKSIM dan JAKIM diserang teruk? Kerana kedua ini merupakan badan penyelidikan dan pembangunan khusus bagi pembangunan Islam di negara kita. Di belakang mereka ada ramai felo-felo akademik yang ikhlas dan bersungguh mengkaji dari berbagai sudut. Mereka ibarat think tank yang memberikan input kepada pejuang Islam di lapangan massa.

Barat sangat takut kepada badan akademik sebegini. Sebelum Kerajaan Pusat bertukar lagi, dua badan ini menjadi serangan kumpulan Evangelicalis, Liberalis, pejuang LGBT dan bermacam lagi kerana agenda halus mereka berjaya dilondeh badan sebegini. Sebab itu mereka mencipta berbagai isu negatif bagi mengekang perjalanan badan sebegini. Sebahagian isu adalah palsu, dan sebahagian lain adalah kebenaran yang dimanipulasi dengan persepsi negatif.

Saya menjangkakan badan ini tidak akan bertahan lama. Kalau tidak ditutup, pengstrukturan semula akan dilakukan bagi menghilangkan peranan penyelidikan yang boleh melondeh lagi tabir perancangan musuh Islam.

Justeru itu, apa langkah segera yang perlu diambil? Tubuhkan segera badan kajian bebas sebagai alternatif. Sebaiknya dikelolakan oleh PAS kerana kelebihan memiliki sumber tenaga yang ramai. Boleh juga dijemput felo-felo IKSIM dan JAKIM untuk meneruskan kajian mereka di wadah baharu nanti.

Masalah paling besar adalah pembiayaan. Sudah sampai masanya ahli korporat Muslim memperuntukkan dana khas bagi membangunkan badan sebegini. Di samping sumbangan pendidikan generasi baru, sumbangan kebajikan dan kemanusiaan, sumbangan dari sudut ini adalah sangat kritikal.

Biaya penyelidikan adalah sangat tinggi. Perlukan premis, perlukan bahan-bahan rujukan, perlukan pengembaraan ke sana ke mari, perlu engagement dengan ramai pihak, perlu pengorbanan masa dan tenaga yang tidak kecil. Bagi yang berkemampuan, pelaburan untuk masa depan Islam ini sangat diperlukan.

Barat sanggup menghabiskan 1/3 dari pendapatan mereka hanya untuk peruntukan R&D yang secara kasarnya tidak membawa pulangan material. Tetapi mereka tahu perkara ini adalah elemen terpenting dalam menentukan masa depan mereka. Dan mereka telah buktikan hari ini, pelaburan terhadap RAND Corp, Brookings, NED, NDI, IRI, FSI, ICT, SIWPS dan berbagai lagi institusi telah berjaya mencatur bukan sahaja geo-politik, malah sosioekonomi dan kedaulatan sesebuah negara.

Soalan kepada seluruh umat Islam, apa pula badan yang kita ada? Adakah kita rasa badan fatwa yang banyak di seluruh dunia Islam sudah memainkan peranan serius dalam isu strategikal sebagaimana Barat atau tidak? Jika ya, maka tiada apa yang perlu dibimbangi. Tetapi jika tidak, sesuatu perlu dilakukan!

27 Zulkaedah 1439
9 Ogos 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo