NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ibrahim Ali Tubuh Parti Baharu – Putra



RASMI… Sebagai alternatif kepada orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, sebuah parti baharu ditubuhkan bagi memperjuangkan kepentingan kaum tersebut dan agama Islam.

Ia dinamakan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan ditubuhkan selepas mengadakan pertemuan dengan rakyat khususnya golongan belia sejak sebulan lalu untuk dengar luahan mereka selepas PRU ke-14 berlangsung.

Menurut Presiden Penajanya, Datuk Ibrahim Ali penubuhan parti tersebut adalah untuk bawa perjuangan sendiri yang berlandaskan kepada penjagaan kepentingan hak orang Melayu dan syiar agama Islam.

“Kita tidak akan bersekongkol dengan parti-parti lain termasuk parti yang memerintah negara sekarang. Kita mahu berikan alternatif kepada orang Melayu supaya mereka boleh memilih parti yang bersih, berintegriti.

“Juga tidak retorik dan tidak hipokrit,” kata Ibrahim dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini. Turut hadir ialah Tan Sri Khalid Yunus yang dilantik sebagai Timbalan Presiden Penaja.

Tambah beliau lagi, pihaknya sudah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam untuk proses kelulusan penubuhan parti baharu tersebut.

Ibrahim turut menekankan beberapa agenda utama dalam penubuhan Putra seperti agihan ekonomi adil, sistem pendidikan satu aliran serta jaga maruah dan kepentingan orang Melayu bertanding dalam PRU akan datang.

Bagaimanapun, menurut beliau, parti berkenaan tidak akan memecah-belahkan orang Melayu sebaliknya akan mencari titik penyatuan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

“Iklim politik hari ini berbeza, soal perpecahan orang Melayu sekarang berpunca daripada siapa? Siapa yang amalkan rasuah dan penyelewengan?

“Rasuah dan penyelewengan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan akhirnya mereka berpaling daripada parti yang disokong selama ini.

“Jadi, jangan bagi ahli kecil hati dengan isu-isu sedemikian terutama golongan muda yang kini sedang memikirkan masa hadapan mereka,” ujar Ibrahim. – Utusan Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo