NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

HSR: Singapura sangkal Azmin



KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kerajaan Singapura hari ini menyangkal dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau mengadakan perbincangan tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), minggu lalu.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Si­ngapura seperti dipetik portal TodayOnline berkata, tiada sebarang mesyuarat dijadualkan atau berlaku antara Mohamed Azmin dengan pegawai kanan dari Singa­pura berkenaan HSR.

Mohamed Azmin semalam memaklumkan beliau mengambil peluang bertemu pegawai kanan rasmi Singapura untuk berbincang me­ngenai HSR dalam kunjungannya ke Singapura Ahad lalu.

"Semalam (Ahad), saya ke Si­ngapura melawat Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan saya ambil peluang bertemu pegawai kanan rasmi Singapura untuk berbincang mengenai HSR. Ia berlangsung dengan positif," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Walau bagaimanapun, ketika ditemui pemberita hari ini bagi mendapatkan penjelasannya berhubung penafian Kementerian Pengangkutan Singapura tentang pertemuan tersebut, Mohamed Azmin me­ngakui beliau memang tidak berjumpa dengan pegawai kementerian berkenaan.

"Betul (yang saya tidak bertemu dengan pegawai Singapura). Bila saya sebut semalam, adakah saya katakan yang saya berjumpa dengan pegawai Kementerian Pengangkutan?" katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penafian Singapura itu memalukan kerajaan Malaysia kerana disifatkan sebagai 'pembohong besar' dan mereka-reka cerita untuk menyedapkan hati rakyat.

Beliau berkata, jika benar, pihaknya tidak faham mengapa perkara itu perlu dibohongi, adakah semata-mata mahu membuktikan kepada rakyat bahawa HSR masih ada dalam jadual pembangunan atau sekadar menunjukkan betapa Pakatan Harapan (PH) benar-benar melaksanakan tugasnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa rakyat tidak dimaklumkan mengenai kedudukan sebenar rundingan dengan Singapura dan apakah keperluan untuk mereka dibohongi bagi menutup kelemahan.

"Selepas kerajaan mencipta penipuan paling besar mengenai kedudukan hutang negara, kini kita disuakan pula dengan pelbagai tipu muslihat oleh kerajaan. Belum pun tiga bulan memerintah, kerajaan sudah banyak me­lakukan 'silap mata' terhadap dasar dan janji manifestonya untuk PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

"Usahlah banyak memutar belit dan mengada-adakan 'fakta tidak benar' untuk menutupi kelemahan dan kesalahan. Ini negara kita bersama dan masa depannya adalah tanggungjawab kita bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Utusan Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo